
SJKC, SJKT langgar Perlembagaan, dakwa peguam
Seorang peguam memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kedudukan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SKJT).
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif mendakwa kewujudan sekolah-sekolah vernakular itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau membuat permohonan menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.
Peguamnya, Shaharudin Ali mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 17 Akta Pendidikan, yang memberi pengecualian bahasa pengantar utama kepada sekolah jenis kebangsaan, dan Seksyen 28 akta sama yang membolehkan menteri menubuhkan sekolah jenis kebangsaan.
Beliau mendakwa Parlimen tiada kuasa memberikan kuasa seperti itu kepada menteri pendidikan, kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak memperuntukkan kuasa seperti itu kepada menteri pendidikan.
“Teras permohonan ini untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan sama ada Parlimen mempunyai kuasa membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman.
Notis itu menamakan menteri pendidikan sebagai defendan pertama dan kerajaan sebagai defendan kedua.
Shaharudin menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka sebagai asas dan sandaran permohonan itu, yang mana ia mengatakan Fasal 152 hendaklah digunakan dalam hal-hal bersangkutan pendidikan bagi maksud rasmi.
“Kalau sekolah rendah jenis Melayu tidak wujud, bagaimana sekolah rendah jenis Cina dan Tamil boleh wujud. Jadi itu persoalan undang-undang yang kita akan cuba hujahkan di mahkamah kelak,” katanya.
Sementara itu, Khairul menolak tanggapan tindakannya itu menjurus kepada sifat perkauman.
Beliau menarik perhatian pemberita kepada Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sejumlah belanjawan yang besar kepada sekolah vernakular.
“Itulah punca pencetusnya kerana Belanjawan 2020 ini wang pembayar cukai, jadi selaku rakyat yang membayar cukai, kita berhak pastikan kerajaan membelanjakan duit rakyat ke institusi yang dibenarkan Perlembagaan,” ujarnya lagi.