Malaysia Dateline

Skandal 1MDB: 13 Dis keputusan lucut wang badan perhubungan Umno Kedah

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Dis untuk keputusan permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM1,054,019.22 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak ketika pendengaran kes berkenaan.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan selaku pemohon diwakili Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Abdul Rashid Sulaiman manakala peguam G. Nadaraja mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang dinamakan sebagai responden.

Abdul Rashid dalam hujahnya menegaskan pihak responden tidak pernah memeriksa sumber kewangan milik badan itu sama ada ia sah atau tidak.

“Maka ia telah menimbulkan persoalan sejauh mana sumber wang itu adalah sah atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Nadaraja dalam hujahannya berkata tiada keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang menyatakan responden ada menerima wang daripada sumber tidak sah pada 2017 dan 2018.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan menolak bantahan awal (PO) dikemukakan pihak pembelaan untuk beliau menarik diri daripada mendengar permohonan perlucuthakan itu kerana tidak wujud bahaya bahawa beliau akan berat sebelah apabila mendengar kes itu.

“Beliau berkata dana yang akan dilucut hak itu tidak ada kaitan dengan kes SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung,” katanya.

Nadaraja semasa mengemukakan PO itu berkata permohonan bagi perlucuthakan itu difailkan oleh pihak pendakwaan berdasarkan siasatan terhadap kes SRC yang didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Abdul Rashid menegaskan dalam hujahnya bahawa permohonan lucut hak itu bukan berpandukan kes SRC tetapi ia dibuat berdasarkan kes 1MDB yang dibicarakan di mahkamah lain.

Hakim Mohd Nazlan juga akan membuat keputusan bagi dua lagi PO yang dikemukakan responden berhubung pindaan afidavit berkaitan dengan kes dan ketidakpatuhan pihak pendakwaan terhadap Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 pada hari yang sama.

Dalam sidang media sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata pihaknya telah memfailkan saman perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) berikutan SPRM percaya wang itu dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

— BERNAMA