Skandal 1MDB: Cukuplah negara dan rakyat menanggung aib

Skandal 1MDB: Cukuplah negara dan rakyat menanggung aib

Pengumuman Kerajaan Amerika Syarikat tentang skandal 1MDB semalam telah mengesahkan lagi apa yang telah lama kami ketahui dan mengesyaki. Kerajaan Amerika adalah hanya satu daripada beberapa negara utama kuasa ekonomi dunia yang menjalankan siasatan selain Singapura, Switzerland, England dan juga Hong Kong. Mereka adalah kuasa ekonomi dunia yang berwibawa dan berpengalaman.

Yang anehnya akhbar pro-Kerajaan Malaysia telah meremehkan isu pengumuman kerajaan Amerika sebagai usaha Barat hendak menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak. Ini adalah hujah usang yang sering digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang korup dan tidak bermaruah.

Kenapa sudah bertahun dicabar kerajaan tidak mendakwa di mahkamah akhbar Wall Street Journal dan Sarawak Report yang di dakwa “memfitnah teruk” Najib? Itulah jalan yang paling logik.

Majlis Raja Raja Melayu sejak akhir 2015 lagi telah meminta kerajaan menyelesaikan masalah 1MDB tapi tidak diendahkan. Adakah kerajaan menuduh Majlis Raja-Raja Melayu hendak menjatuhkan Najib juga?

Majlis Raja-Raja hanya ingin membela nasib rakyat yang telah dirompak berbilion-bilion wang mereka oleh pihak yang rakus.

Saya ingin memohon Majlis Raja-Raja Melayu menitahkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bebas untuk menyiasat isu 1MDB. Mereka berhak berbuat demikian kerana nasihat mereka diketepikan dan laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB dirahsiakan selama ini.

Sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat kerana menyoal isu 1MDB, Tan Sri Muhyiddin Yasin diminta mengetuai semua rakyat dan pembangkang untuk mendesak penubuhan Suuhanjaya Siasatan Diraja yang bebas ini.

Sudah cukup Malaysia diaibkan dengan skandal terbesar kewangan dunia antarabangsa yang tiada nampak penghujungnya dan mencemar nama baik negara kita.

Bangkitlah dari tidur lenamu rakyat Malaysia. Negara dan anak cucu cicitmu memerlukan kamu bersuara ‘sekarang’ bagi menebus maruah bumi Malaysia yang pernah mempunyai nama harum satu ketika dahulu.

Saya menyeru semua ahli parlimen bertemu untuk mendesak Majlis Raja-raja Melayu bertindak.

COMMENTS

Wordpress (0)