Skandal 1MDB: Majlis Raja-raja titik akhir harapan rakyat

Skandal 1MDB: Majlis Raja-raja titik akhir harapan rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Raja-raja Melayu adalah harapan terakhir rakyat untuk mencari jawapan dan penyelesaian terhadap skandal 1MDB yang membelenggu negara.

Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Husam Musa dalam statusnya di laman facebook berkata, semua institusi negara seperti parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Audit Negara, Bank Negara dan Peguam Negara seperti telah ditewaskan atau ‘dijinakkan’ dalam isu 1MDB.

“Malaysia nampaknya tidak mempunyai mekanisme melepaskan diri dari jerutan korupsi skala besar dari puncak kuasa. Terpaksa menyerah diri sekali pun nurani meronta-ronta.

“Kertas SPRM terakhir dibakulsampahkan saja. Mana lagi institusi yang boleh tegak menyelamatkan negara? Atau menunggu keruntuhan terakhir dan Malaysia tidak lagi dapat diselamatkan?” ujar beliau.

Husam yang juga Ahli Dewan Negeri (Adun) Salor mempersoalkan sama ada kegagalan siasatan skandal 1MDB itu berpunca daripada seorang pemimpin yang tidak tersentuh oleh keluhuran undang-undang?

Bagaimanapun bekas Naib Presiden Pas itu menaruh harapan kepada Majlis Raja-Raja dan para Sultan untuk bertindak.

“Bolehkah para Sultan menyalakan semula harapan rakyat terbanyak dengan memanggil SPRM menyembahkan maklumat mengenai kertas terakhirnya mengenai 1MDB kepada Majlis Raja-Raja yang akan bersidang?

“Kemudian Majlis Raja-Raja  membentuk satu panel untuk menyembahkan pandangan dan nasihat sama ada terdapat ‘prima facie’ atau tidak berdasarkan kertas laporan siasatan itu,” saran beliau.

Menurut Husam, jika ini berlaku, ia akan menunjukkan Raja-Raja  muncul menjadi titik terakhir rakyat menaruh harapan mewujudkan mekanisme meluruskan semula perjalanan negara tercinta.

“Mungkinkah di sana ada sinar harapan?” soal beliau.

TAGS