Skandal 1MDB: Najib pasif memancing wasangka, lapor Tempo

Skandal 1MDB: Najib pasif memancing wasangka, lapor Tempo

Majalah berpengaruh Indonesia, Tempo minggu ini memberi fokus pada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ekoran rampasan sebuah kapal mewah di Pulau Bali, 27 Februari lalu.

Muka depan majalah mingguan itu dengan tajuk ‘Pesiar Rasuah 1MDB’ melaporkan secara terperinci berserta kronologi skandal dalam Laporan Utama berjumlah lapan muka surat.

Majalah keluaran 12 – 18 Mac itu turut mengaitkan Jho Low dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menyifatkan kejayaan Indonesia merampas kapal layar Equanimity yang diburu Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat itu sebagai memanaskan suhu politik di Malaysia, Tempo berkata, rampasan itu menjadi bukti wujudnya pengubahan wang haram.

“Kapal Equanimity diduga salah satu hasil pencucian wang dari skandal itu. Equanimity merupakan bukti penting pencucian uang yang diduga dilakukan pengusaha Malaysia, Low Taek Jho alias Jho Low.

“Pria asal Penang ini disebut sebagai kawan dekat Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

“Low disebut-sebut merupakan penasihat bisnes Perdana Menteri Najib dan memiliki hubungan dekat dengan sejumlah menteri di Malaysia.

“Low adalah mata rantai yang bisa menyeret Najib dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, lembaga investasi milik pemerintah Malaysia,” dipetik daripada Tempo.

Untuk rekod, Jho Low dinamakan sebagai individu utama dalam tuntutan undang-undang Amerika Syarikat (AS) melalui tuntutan sivil yang difailkan pada 2016 berjumlah AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion).

Bagaimanapun, Low yang didakwa membeli Equanimity menggunakan wang dicuri daripada dana 1MDB yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dikatakan gagal dikesan hingga kini.

Tempo selanjutnya menulis rampasan kapal layar mewah berharga RM1 bilion itu sebagai “ditengarai (disyaki) dekat dengan keluarga Perdana Menteri Najib Razak” seterusnya “menggoncang pemerintahan” Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

Walau bagaimanapun, majalah itu menganggap “sikap pasif pemerintah Najib terhadap perkara kapal Equanimity mudah memancing wasangka.”

“Sejak awal menolak terlibat dalam skandal 1MDB, Najib semestinya bersikap jelas terhadap tudingan pengadilan Amerika perihal bukti-bukti pencucian uang, termasuk kapal bermasalah itu.

“Tuntutan bersikap aktif dan terbuka itu sempat pula disuarakan oposisi – di antaranya lewat bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, tapi tak berdampak.

“Secara politik, Perdana Menteri Najib memang di atas angin. Betapapun skandal 1MDB telah memperburuk citra pemerintah, nyatanya Najib tetap bertahan.

“Tanpa transparansi dan proses checks and balances, kontrol terhadap jalannya pemerintahan sulit dilakukan.

“Pada titik inilah pengungkapan pencucian uang lintas negara menjadi relevan. Diusut di banyak negara, 1MDB semestinya menjadi proyek lintas negara,” tulis Tempo lagi.

Selain AS, sembilan negara lain turut menyiasat kes salah guna 1MDB sehingga Tempo menyifatkan, “korupsi ini akhirnya bukan sekadar urusan publik Malaysia, melainkan dunia.”

DoJ pada 2017 meminta penangguhan tuntutan sivil yang dikemukakannya untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion (RM6.67 bilion) yang dipercayai dibeli dengan dana 1MDB.

Antara aset yang dicari itu termasuk kapal mewah bernilai AS$250 juta (RM981 juta) yang dibeli Jho Low serta jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York serta kepentingan berjumlah AS$107 juta (RM419 juta) dalam EMI Music Publishing.

Model dan aktres dari Australia, Miranda Kerr telah memulangkan barang kemas bernilai jutaan dolar yang diberikan Low kepada pihak berkuasa AS.

Turut bertindak, pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio memulangkan anugerah Oscar yang dimenangi Marlon Brando dan barangan lain kepada Washington yang didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB.

Bagaimamapun, kerajaan Umno-BN diterajui Najib dilihat cuba mengelak untuk memberi penjelasan berkaitan status siasatan 1MDB di Parlimen minggu lalu dengan menolak sejumlah soalan daripada pihak pembangkang dibahas di Dewan Rakyat.

Bahkan, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataannya 7 Mac lalu menyifatkan tiada keterangan kukuh mengaitkan Low dengan keputusan dan urus niaga yang dibuat 1MDB.

Fuzi juga berkata, Equanimity yang dirampas itu bukan kerana saman pelucuthakan sivil untuk merampas aset 1MDB serta menyatakan siasatan polis terhadap 1MDB mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentang di Parlimen pada 7 April 2016 menunjukkan Low tidak pernah di 1MDB.

8.3
OVERALL SCORE
7 user votes x 9.4
CATEGORIES