Skandal 1MDB : Najib tarik balik saman fitnah terkait kesalahan dilakukan, kata Pemuda AMANAH

Skandal 1MDB : Najib tarik balik saman fitnah terkait kesalahan dilakukan, kata Pemuda AMANAH

Kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada bukti kukuh untuk mendakwanya terbabit dalam  skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak berasas sama sekali.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional  Faiz Fadzil berkata, sewajarnya. segala dakwaan yang dikaitkan terhadap bekas perdana menteri itu seharusnya dijawab dengan fakta dan alasan positif dan bukannya kenyataan politik untuk mengelirukan persepsi rakyat

“Najib kata kerajaan tiada bukti kukuh untuk mendakwa beliau berhubung skandal 1MDB ekoran kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pihak berkuasa mengumpulkan bukti kukuh dahulu adalah satu kenyataan yang tidak berasas seolah-olah Najib Razak tidak mendapat nasihat undang-undang yang betul dan tepat.

“Sedangkan isu penerimaan wang berkaitan skandal 1MDB, seperti daripada SRC International sebanyak RM42 juta, fasa Goodstar ltd sebanyak USD20 juta, fasa Aabar BVI sebanyak USD30 juta dan fasa Tanore Account sebanyak USD681 juta (RM2.6 bilion) seperti yang didedahkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) langsung tidak dinafikan Najib Razak selama ini.

“Ironinya, jika Najib Razak yakin beliau tidak bersalah, kenapa setelah kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu, beliau menarik balik kes-kes fitnah berkaitan skandal 1MDB termasuk terhadap Harakah, TonyPua dan Tun Dr Ling Liong Sik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pasir itu berkata, Najib perlu memahami prinsip undang-undang keterangan di
mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu membuktikan kes di luar keraguan munasabah bagi setiap pertuduhan yang bakal dikenakan.

“Tugas pihak pendakwaan dalam kes jenayah sememangnya berat dan oleh itu, pihak penyiasat perlu mengumpulkan semua bukti sama ada saksi atau dokumen sebelum pendakwaan boleh dimulakan.

“Pemuda AMANAH bertegas supaya Najib Razak bukan sahaja didakwa malah dihukum bagi kesalahan yang beliau lakukan tanpa mengabaikan proses keadilan undang-undang.

“Jangan sejarah lama pendakwaan terpilih berulang di mana terdapat beberapa tokoh politik dibebaskan mahkamah kerana tidak cukup bukti dikemukakan dan ada pula yang dihukum walaupun tidak cukup bukti,” ujarnya.

Pada Ahad Dr Mahathir berkata, jika kerajaan terburu-buru untuk mendakwa Najib daripada skandal 1MDB mungkin akan melepaskannya.

Dengan berkata demikian, Najib berpandangan balas bahawa Dr Mahathir telah mengakui PH membuat segala tuduhan terhadapnya tanpa bukti kukuh.

Dakwa Najib lagi, pada 2015 kenyataan beliau tidak pernah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan? soal Najib.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote