Malaysia Dateline

Skandal 1MDB: Pendengaran lucut hak Badan Perhubungan Umno Kelantan 3 Disember

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Dis untuk mendengar  permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memohon satu tarikh baharu untuk pendengaran.

“Ini kerana Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini terlibat dengan arahan pertukaran,” katanya semasa pengurusan kes itu yang turut dihadiri peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal yang mewakili Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Dalam kes lucut hak melibatkan harta Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Dis untuk pengurusan kes.

Nik Haslinie memberitahu media  perkara itu selepas kes berkenaan  disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri peguam R.Hanita mewakili Badan Perhubungan Umno Selangor.

Pendakwaan selaku pemohon memfailkan permohonan bagi melucut hak wang yang disita daripada kedua-dua entiti itu yang dinamakan sebagai responden.

Ketua Pesuruhjaya SPRM  Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak.– BERNAMA