Skandal hartanah Johor: Exco digesa isytihar harta

Skandal hartanah Johor: Exco digesa isytihar harta

DAP Johor mendesak Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin melaksanakan enam langkah bagi membanteras budaya rasuah yang berlaku di negeri itu dalam mengembalikan keyakinan rakyat.

Khaled mesti melaksanakan dasar pengisytiharan harta untuk semua ahli Exco Kerajaan Negeri Johor bagi mencegah perbuatan khianat di kalangan Eksekutif, seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Selain itu, Khaled juga mesti menggantung tugas Exco yang mempunyai kaitan dengan skandal tanah tersebut sehingga namanya dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketiga, Khaled harus melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi dan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memangku jawatan itu dalam tempoh siasatan SPRM dijalankan.

“Beliau juga wajar membekukan semua kelulusan tanah yang terlibat dalam skandal berkenaan,” Kata DAP Johor dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, DAP Johor turut mencadangkan Khaled menubuhkan sebuah jawatankuasa terpilih Dewan Negeri yang dipengerusikan ahli pembangkang bagi memantau siasatan skandal tersebut.

“Kemudian, jawatankuasa itu akan membentangkan satu laporan terperinci mengenainya kepada Dewan,” kata kenyataan itu.

Khaled juga, diminta bertanggungjawab menyemak semula semua permohonan tanah yang telah diluluskan dalam tempoh lima tahun bagi mengesan sebarang unsur penyelewengan yang mungkin wujud.

Ia berikutan laporan media bahawa SPRM bakal menahan lebih ramai individu dalam skandal tanah berkenaan termasuk pegawai-pegawai kerajaan negeri yang lain.

“Sebagai ketua kerajaan negeri, Khaled Nordin harus mengambil tindakan segera dan memberi penjelasan untuk mempertahankan reputasi ‘Team Johor’ beliau.

“Keputusannya mendiamkan diri bukan satu langkah bijak malah menimbulkan syak wasangka tentang sejauh mana penglibatan pemimpin dan pegawai kerajaan negeri yang lain, termasuk beliau sendiri dalam skandal tanah ini.

“Kes penyelewengan tanah negeri merupakan pengkhianatan besar terhadap rakyat dan kedaulatan negeri Johor. Tanah negeri dijual beli melalui perbuatan rasuah dan bukan berasaskan kepentingan awam,” tegas DAP Johor.

Jumaat lepas, enam individu berusia antara 25 dan 50 tahun diberkas SPRM di beberapa lokasi di Johor Bahru, terdiri daripada anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang awam.

SPRM berkata kesemua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor.

Selain tangkapan, turut dirampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen. Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan jumlah kira-kira RM15.5 juta turut dibekukan.

TAGS