Skandal hartanah MARA di Australia: NGO buat laporan polis

Skandal hartanah MARA di Australia: NGO buat laporan polis

Tidak berpuashati dengan kegagalan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa menangani skandal pembelian hartanah di Australia oleh agensi badan amanah bumiputera itu, badan pemantau National Oversight & Whistleblowers (NOW) membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang semalam.

Laporan dibuat Pengarah NOW, Akmal Nasir dengan diiringi aktivis Fahmi Zainol.

Menurut Akmal, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap skandal pembelian hartanah di Australia oleh pihak MARA.

MARA ujar Akmal telah ‘terlebih bayar’ sebanyak RM129 juta dalam urusniaga hartanah tersebut dan siasatan terhadap individu-individu yang dinamakan di mahkamah Australia perlu dibuat.

“Laporan polis ini dibuat bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang difailkan di mahkamah di Australia sebagai asas siasatan dan bukti penglibatan individu-individu tersebut.

“Dokumen-dokumen tersebut adalah Statement of Claim dan senarai invois seperti yang didedahkan oleh (Ahli Parlimen Pandan) YB Rafizi Ramli sebelum ini.

“Juga disertakan dokumen gambar rajah struktur syarikat dan individu yang terlibat dan sedutan transkip seperti lampiran,” ujar Akmal dalam satu kenyataan media lewat petang semalam.

Menurut beliau, gambar rajah struktur tersebut secara jelas menunjukkan kaitan tiga individu iaitu Mazrul Haizad Marof (abang ipar kepada Dazma Shah Daut) yang memiliki atau terlibat dengan tiga syarikat penerima bayaran RM14 juta, Ahmad Nazim Abdul Rahman (Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA) dan Dazma Shah Daut (Exco Pemuda Umno).

Akmal berharap pihak polis dapat menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur pecah amanah terutamanya melibatkan pengurusan tertinggi MARA atau penglibatan mana-mana ahli politik dalam urusniaga itu.

Langkah ini juga, katanya sebagai usaha untuk mencari jalan agar wang ‘terlebih bayar’ itu dikembalikan kepada MARA.

“Laporan polis dibuat kerana MARA telah gagal untuk selesaikan skandal ini, walaupun Pengerusinya sendiri telah memberi jaminan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sejak skandal ini terbongkar, kira-kira 8 bulan yang lepas,” jelas beliau.

Usaha ini juga, tambah beliau bertujuan membela kebajikan dan nasib rakyat terutamanya anak-anak muda mahasiswa dan usahawan Melayu serta Bumiputera yang layak dan sepatutnya dibantu oleh MARA.

TAGS