Malaysia Dateline

Skandal LGM: SPRM diminta siasat, Nazlan diminta tarik balik sokong Muhyiddin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat segera dakwaan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris bahawa menteri beliau campurtangan dalam pengurusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sehingga menyebabkan skandal berlaku.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi juga mencadangkan agar Nazlan menarik balik sokongan beliau kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Cadangan Puad ini berikutan kenyataan Nazlan semalam yang mendedahkan beliau telah ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi LGM tanpa sebarang sebab.

“dalam kenyataan medianya itu, Nazlan membangkitkan skandal yang melanda LGM. Beliau dakwa Menterinya Dato Khairuddin At Takiri campur tangan.

“Justeru, SPRM perlu siasat segera dakwaan Datuk Nazlan.

“Apa pun, diharap Datuk Nazlan jangan tunggu lama lama. Tarik sahaja sokongan,” kata Puad, bekas timbalan menteri ketika kerajaan Barisan Nasional memerintah negara itu.

Nazlan adalah MP kedua dari Umno yang ditamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi GLC.

“Maka bertambah lagi seorang MP Umno yang sepatutnya menarik sokongan terhadap PM 8,” kata Puad.

Nazlan ditamatkan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia. Seperti mana Tajuddin Rahman, Nazlan juga tidak dimaklumkan alasan sebenar kenapa khidmatnya ditamatkan.

Beliau juga menolak jawatan baru sebagai Pengerusi MPOB yang juga terletak di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang menterinya adalah Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, MP Pas dari Terengganu.

BERITA BERKAITAN

Pemimpin Pas yang kawal LGM Properties