Skandal MARA taja TRW: Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri

Skandal MARA taja TRW: Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri

Skandal penyelewengan wang Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkaitan penajaan pasukan bolasepak The Red Warriors (TRW) berjumlah RM700,000 masih belum disiasat walaupun umum sudah ditunjukkan dokumen yang berkaitan, tegas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, pendedahan hampir seminggu lepas membabitkan anak syarikat milik MARA iaitu UniKL (RM500,000) dan Pelaburan Mara Berhad (RM200,000) itu mesti disiasat pada kadar segera.

“Setiap segmen rakyat kini mula berasa gelisah dan muak dengan pelbagai skandal salah urus tadbir Umno. Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri dengan budaya korupsi dan penyelewengan.

“Wang MARA tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain selain membantu orang Melayu terutamanya dalam bidang pendidikan. Usah diprejudiskan hak orang Melayu dalam bidang pendidikan dengan mengutamakan kepentingan mana-mana individu,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa yang juga pada masa sama merupakan penasihat pasukan TRW sudah pasti mempunyai kepentingan dalam kedua-dua entiti.

“Kemungkinan wujudnya elemen jenayah seperti penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan rasuah dalam skandal penajaan wang MARA ini perlu disiasat dengan segera dan bebas oleh pihak SPRM dan Polis DiRaja Malaysia kerana Tan Sri Annuar Musa mempunyai percanggahan kepentingan di atas kapasitinya sebagai penasihat TRW. 

“Penafian Tan Sri Annuar Musa bahawa penajaan tersebut menggunakan wang MARA ternyata tidak berasas setelah beliau akur dengan arahan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob supaya MARA menangguhkan apa-apa penajaan selain pendidikan.

“Ini menunjukkan bahawa penajaan TRW tersebut melibatkan penggunaan wang MARA yang telah disalahgunakan,” tegas Faiz.

Sementara itu, mengulas penolakan skandal tajaan MARA berkenaan, beliau menyifatkan tidak memadai sekadar menentang di hati seperti yang pernah dilakukan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz dalam skandal 1MDB.

“Malahan, dalam skandal penajaan MARA ini, beliau adalah individu paling layak untuk mempersoalkan ketelusan penajaan ini atas kapasiti dan lokus beliau sebagai Ahli Parlimen daripada negeri Kelantan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Annuar sebelum ini dilaporkan akur dengan arahan Ismail Sabri serta bersedia memberi kerjasama penuh menyediakan laporan lengkap berhubung perkara tersebut untuk tindakan lanjut pihak kementerian.

Hal berkenaan ekoran pendedahan beberapa dokumen sebagai bukti oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Facebook rasmi TMJ, Johor Southern Tigers pada 12 Januari lalu berhubung tajaan itu.

TMJ mendakwa UniKL turut jadi mangsa bagi menaja TRW ketika biasiswa penuntut dikurangkan

TAGS