Skandal menteri: Peguam gesa siasat dua tuduhan Haziq Aziz

Skandal menteri: Peguam gesa siasat dua tuduhan Haziq Aziz

Peguam Adnan Seman menggesa pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya video berkaitan pengakuan Haziq Aziz kerana isu melibatkan seorang menteri itu adalah isu moral dan integriti.

Menurutnya, individu tersebut merupakan ahli PKR berjawatan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong (PKR).

Katanya, Haziq mengaku bahawa dia merupakan salah seorang pelaku di dalam video yang sedang tular itu dan mendakwa salah seorang lagi pelaku adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Haziq juga, jelasnya, mendakwa Azmin terlibat dalam korupsi dan meminta pihak SPRM menyiasat ketika tular beberapa penyata kemasukan duit dari sebuah syarikat besar yang tidak diketahui sejauh mana kebenarannya.

“Kedua-dua tuduhan adalah tuduhan yang amat berat dan kesannya sangat besar kepada negara.

“Maka amat wajarlah kebenaran di sebalik kedua-dua tuduhan ini kita serahkan kepada pihak berkuasa dan mengharapkan satu siasatan telus dapat dibuat dengan cepat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berpendapat sebarang kesimpulan tidak berhak dibuat selagi siasatan belum sempurna dan tidak dibuktikan di mahkamah.

“Walaupun secara peribadi saya meragui kebebasan pihak berkuasa dan pendakwaan di bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan) disebabkan pengguguran kes pendakwaan Lim Guan Eng, penutupan siasatan kes terowong Pulau Pinang melibatkan LGE dan banyak lagi kes-kes melibatkan pimpinan atau pendokong PH yang dihentikan siasatan dan digugurkan pendakwaan namun saya amat berharap isu perlakuan seks yang ada di dalam video ini dan tuduhan korupsi disiasat dengan telus dan keadilan diberikan kepada sesiapa sahaja yang dituduh,” ujarnya lagi.