Malaysia Dateline

Skandal pembelian 6 helikopter dirujuk kabinet, kata Menteri Pertahanan

Isu pembelian enam buah helikopter, MD 530G, daripada Amerika Syarikat (AS) akan dibawa ke Kabinet.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menerima pandangan daripada Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan.

 “Kita ada dua pandangan utama di situ.

“Kita akan bawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan dan membuat keputusan, saya nak cuba bawa dalam masa terdekat iaitu sebelum akhir tahun ini supaya ada keputusan akhir mengenai tempahan enam helikopter MD530G yang sepatutnya tiba pada November 2017 lalu,” katanya seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Institut Kesalamatan dan Pertahanan Malaysia 2019 bertema Mempertahankan Negara Maritim:Masa Depan Operasi bersama ATM?”.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan tempahan itu, Mohamad berkata, ia akan ditentukan Kabinet.

Mengenai kertas putih Kementerian Pertahanan, beliau memberitahu, ia akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.

“Kertas putih itu sebelum disiapkan kami mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk pemain industri pertahanan menerusi lima pertemuan selain input negara yang pernah membentangkan kertas putih iaitu, New Zealand, Jepun, Australia, Brunei dan Jerman,” katanya.