Malaysia Dateline

Skandal RM30 juta kini dihalakan kepada Datuk Dr Noor Hisham, KSU dan PH

Ketika pelbagai dakwaan dihalakan kepada para pegawai kanan lantikan politik di Kementerian Kesihatan Malaysia, ekoran pecah skandal RM30 juta di kementerian itu, para pegawai kanan kementerian serta Pakatan Harapan (PH) kini yang menjadi mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min kini yang didakwa terlibat secara langsung dalam skandal RM30 juta pembinaan makmal dan pembelian peralatan kesihatan itu.

Seorang petugas media sosial Umno, Hafizi Harris,  mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan adalah pihak yang terlibat dalam mengawal teknikal projek manakala KSU menandatangani pesanan itu (LOA) di samping menyindir mereka adalah lantikan Pakatan Harapan.

Sambil meletakkan gambar kedua-duanya bersama surat kelulusan projek yang ditandatangani oleh KSU Datuk Seri Chen itu, Hafizi mendakwa syarikat berkenaan mendapat projek RM30.5 juta.

“KP Kesihatan mengawal teknikal projek, KSU menandatangani LOA. Syarikat dapat projek RM30.5 juta dan lebih hebat dapat ‘advance’ RM15.2 juta.

“Syarikat hartanah bukan bumiputera dapat projek makmal secara rundingan terus. Hebat pegawai era zaman PH.

“Tulah dulu sepatutnya tukar tapi..,” tulis Hafizi dalam facebook beliau yang kini menjadi tular di media sosial.

Ekoran itu, ramai aktivis media sosial yang mengulas dakwaan itu. Antaranya menulis, “Baik punya spin.”

Sebelum ini, lima pegawai kanan Pejabat Menteri Kesihatan didakwa ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ekoran terdedahnya skandal RM30 juta itu.

Namun begitu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan berita berkenaan adalah palsu.

Serangan kepada Datuk Noor Hisham dan Datuk Seri Dr Chen bermula di satu laman web bernama Sabahkini2.

Laman itu mendakwa, KP Kesihatan mengawal teknikal projek, KSU menandatangani LOA. Syarikat dapat projek RM30.5 juta dan lebih hebat dapat ‘advance’ 15.2 juta.

Syarikat hartanah bukan bumiputera dapat projek makmal, kata laman itu.

Sebelum ini, blogger dan aktivis Umno Wilayah Persekutuan, Zaharin Mohd Yassin antara pihak yang awal menulis tentang skandal RM30 juta ini.

“Isu rasuah di Kementerian Kesihatan jika di tutup dengan batu konkrit. Adakah anda fikir bau busuk tidak keluar,” tulis Zaharin pada 4 Mei.

Pada hari yang sama, Zaharin menulis lagi, “Khabar seorang pegawai Menteri kata.. ‘Saya buat utk boss’. Dari segi moral apa yang berlaku kes rasuah di satu Kementerian itu arahan Menteri. Punya bongkak pegawai khas menteri ini.”

Beliau juga menulis, “Kerajaan Mahyuddin Yasin jangan cuba melindungi apa juga penyalah gunakan kuasa oleh sesiapa sama Menteri dan jajaran pegawai dalam pejabat Menteri. Benarkan SPRM dengan tugasnya. Jangan di halang. Itu sahaja saya nak cakap.”

Sebelum ini juga, pelbagai pihak menggesa agar SPRM dan polis menyiasat dakwaan skandal ini dengan segera dan telus.

Timbalan Ketua Pemudanya, Shazni Munir Ithnin mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat dengan skop perniagaan dalam bidang pembangunan hartanah, boleh menerima projek yang memerlukan kepakaran khusus dalam bidang kesihatan.

Beliau juga meminta agar siasatan dilakukan secara adil dan menyeluruh serta melakukan pendakwaan segera terhadap semua pihak telibat.