Malaysia Dateline

Skandal RM30 Juta KKM: Siasat dan lakukan pendakwaan segera

Pemuda AMANAH Nasional menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung dakwaan beberapa syarikat yang dikatakan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Timbalan Ketua Pemudanya, Shazni Munir Ithnin mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat dengan skop perniagaan dalam bidang pembangunan hartanah, boleh menerima projek yang memerlukan kepakaran khusus dalam bidang kesihatan.

“Sudahlah demikian, kelebihan bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus kepada pen-tender rundingan terus ini menimbulkan tanda tanya awam, sejauh mana kaitan antara pemilik syarikat dengan pihak yang meluluskan projek tersebut?

“Jika kedudukan kewangan syarikat yang dianugerahkan projek ini menjadi halangan, tidakkah itu menjadi sebab paling besar untuk ianya dibuat secara tender terbuka, atau setidak-tidaknya tender jemputan kepada syarikat-syarikat yang berkemampuan dan layak?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shazni lagi, tanpa sebarang cagaran yang dikenakan kerajaan ditambah kelayakan syarikat tersebut yang jelas dipertikaikan, berapa besar kerugian yang harus ditanggung kerajaan jika projek tersebut tidak siap atau tidak mencapai standard sebagaimana yang digariskan.

Paling utama tegasnya, berapa besar pula risiko yang harus ditanggung oleh kakitangan barisan hadapan yang bersabung nyawa menggunakan makmal yang tidak memenuhi spesifikasinya itu nanti.

“Ini baru satu projek yang terdedah kepada pemakluman awam.

“Bagaimana pula dengan projek-projek lain bawah kerajaan sejak Perikatan Nasional mengambil-alih kerajaan?,” ujarnya.

Justeru beliau menegaskan agar siasatan dilakukan secara adil dan menyeluruh serta melakukan pendakwaan segera terhadap semua pihak telibat.

Malah menurutnya, situasi kecemasan tidak harus dijadikan alasan untuk mana-mana pihak berkompromi terhadap lunas integriti dan melawan rasuah.