Skandal Sturgeon: Siasatan Felda mula awal sebelum pendedahan pembangkang

Skandal Sturgeon: Siasatan Felda mula awal sebelum pendedahan pembangkang

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menegaskan bahawa siasatan oleh pihak Felda sendiri terhadap kes salah laku dan penyelewengan berkaitan ‘Skandal Sturgeon’ telah lama dimulakan berikutan laporan Ketua Audit Negara Sesi 2.

“Kita (Felda) telah mula siasatan dari awal dan turut melakukan beberapa tindakan pembetulan susulan dari laporan-laporan yang diterima daripada jawatankuasa khas yang dilantik dan Unit Integriti.”

“Bukan kerana pembangkang dedah (isu sturgeon) baru kita ambil tindakan. Dah lama mulakan (siasatan dalaman),” ujar Razali kepada FeldaVoice pada Rabu lalu.

Individu-individu yang telah ditahan SPRM juga jelas beliau ada yang telah ditamatkan perkhidmatannya diawal proses siasatan pihak Felda seperti Pengarah Kumpulan dan Timbalan Pengarah Kumpulan).

“Mereka ini kita tamatkan perkhidmatan, sementara pihak Felda menjalankan siasatan dan memudahkan siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, lima individu ditahan SPRM pada Selasa dan direman selama tujuh hari berkaitan ‘skandal sturgeon’ ini.

Razali menegaskan tindakan yang diambil oleh pihak Felda telah bermula awal dan bukan kerana ianya dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

“Justeru itu, individu-individu yang ditahan SPRM itu bukanlah kerana isu ini dibangkitkan oleh pembangkang sebaliknya datang dari siasatan Felda dan Laporan Ketua Audit Negara.

“Pihak Felda akan terus berikan ruang kepada mana-mana agensi penguatkuasa untuk lakukan siasatan dan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain berkaitan Makmal Pemantapan Felda, Razali memberitahu Makmal Pemantapan Felda kini telah masuk ke fasa ketiga.

“Makmal ini kini sudah masuk fasa ketiga dan dokumennya mempunyai lebih 700 mukasurat.”

“Hasil dari makmal ini, ada tindakan yang kita (Felda) akan laksanakan dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek.”

“Hasil makmal ini kita akan bawa dalam mesyuarat Lembaga Felda untuk kita ambil tindakan selanjutnya,” kata Razali seperti dipetik.

TAGS