Malaysia Dateline

Skandal ulama Pas: ‘Ustaz jari tengah’ persoal status agama Alexander

Penceramah, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin hari ini tampil membela Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik ekoran dakwaan skandal dengan individu dikenali sebagai Leena.

Ahmad Husam yang juga pernah digelar ‘ustaz jari tengah’ dalam ulasan videonya mendakwa mendapat khabar bahawa penyebar Alexander Pittsuwan Thomprason bukannya beragama Islam.

“Saya ingin bertanya pemilik Facebook, Alexander Pittsuwan Thomprason, adakah kamu ini orang Islam atau bukan Islam? Wallahualam, saya pun tidak tahu.

“Kalau dia orang Islam, kita sembang cara Islam. Apa agenda kamu yang utama untuk memburukkan golongan agamawan, asatizah dan para ustaz ini di kalangan orang Islam?

“Sebab saya mendengar yang menceritakan kepada saya sama sama ada Alexander ini Muslim, berita yang saya dapat, dia ini bukan Islam,” kata Ahmad Husam.

Sejak empat hari lalu, gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan nombor telefon yang dikaitkan dengan Mokhtar tular di media sosial.

Susulan itu, Mokhtar yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang mendakwa nombor telefon tersebut telah digunakan pihak lain tanpa sedar.

Mengulas lanjut, Ahmad Husam yang juga Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia mengingatkan pentingnya latar belakang seseorang yang membawa berita dikenal pasti terlebih dahulu.

“Kalau seorang yang fasik membawa berita kita kena selidik jikalau bukan Islam membawa cerita tentang Islam, adakah kita telan 100 peratus?

“Tolong jawab soalan saya. Kalau kamu bukan seorang Muslim, apa tujuan kamu memburukkan tokoh-tokoh agamawan Islam,” soal anak bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad itu bertubi-tubi.

Untuk rekod, Ahmad Husam merupakan penyokong Pas dan penceramah yang kontroversi termasuk pernah menunjukkan jari tengah ketika berceramah dalam Masjid Permatang Berangan di Sungai Petani pada 2015.

Tahun lalu, Ahmad Husam menyeru supaya orang Melayu bersepakat dengan mendakwa perkataan Melayu itu kononnya dipetik daripada perkataan mala’ul a’la.

Ekoran skandal membabitkan Mokhtar, peguam dari Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH, Noorazmir Zakaria pada 24 Jun lalu bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan.