Sketsa cikgu, murid dan cita-cita

Sketsa cikgu, murid dan cita-cita

Seorang guru sekolah bertanya tiga anak muridnya tentang cita-cita mereka.

Murid pertama, Dogol bin Bedol, seorang murid lelaki Melayu ditanya “Apakah cita-cita kamu Dogol ?” Murid itu menjawab : “Perdana Menteri, cikgu.” Cikgu menjawab : “Bagus, inilah yang cikgu nak dengar.”

Murid kedua, seorang pelajar berbangsa Cina pula ditanya: “Apa pula cita-cita kamu? Murid itu menjawab “Sama cikgu, saya juga nak jadi Perdana Menteri.” Dengan muka masam dan kelat, cikgu itu membalas “Kamu tidak boleh bercita-cita jadi Perdana Menteri.”

Murid itu pening dan tidak puas hati “Tapi cikgu, tadi kenapa Dogol bin Bedol boleh, cikgu” Cikgu itu menjawab, “Sebab Dogol bin Bedol itu Melayu dan Islam sedangkan kamu orang Cina dan bukan Islam.”

Murid itu masih tidak puas hati. “Tapi cikgu, dalam Perlembagaan, tak ada tulis orang yang nak jadi PM mesti orang Melayu/Islam cikgu. Dan satu lagi Dogol ni jahat cikgu, selalu curi duit kawan-kawan.”

Dengan selamba cikgu tu jawab, “Kenapa kamu nak lawan cikgu dan tak mahu walak kat cikgu. Tahu tak kamu, Perlembagaan negara ni parti yang perintah yang tulis, jadi bila-bila mereka boleh padam semula. Lagi satu Dogol tu sedang berlatih mencuri kecil-kecilan, bila jadi PM nanti bolehlah pula dia rompak harta negara besar-besaran pula.”

Kemudian cikgu itu bertanya secara kuat kepada seluruh kelas “Apa namanya rompakan besar-besaran hartabenda orang, murid-murid?”. Dengan kuat dan satu nada, seluruh murid dalam kelas jawab “Kleptokrasi, cikgu !”. Cikgu rasa bangga dan sebut dalam hati “ada harapan dapat CGPA 3.8”

Akhirnya cikgu tanya murid yang ketiga, seorang pelajar wanita, namanya Wan Sosma binti Wan Pota.

Cikgu tanya Wan Sosma “Apa pula cita-cita kamu?” Sosma menjawab “Saya hanya bercita-cita nak jadi bini Dogol, cikgu, jika dia berjaya jadi PM nanti”. “Kenapa?” cikgu bertanya. “Saya nak hidup kaya-raya cikgu dan kalau boleh nak tidur di penthouse di New York atau di dalam kapal layar mewah dan dikelilingi beg tangan berjenama mahal cikgu.”

Cikgu senyum dan kata “Bagus Sosma, inilah yang dikatakan “ibu segala cita-cita” ( “mother of all ambitions” ).