Malaysia Dateline

Sketsa rakyat di bawah yang kita tidak tahu

1. Beberapa bulan sebelum ini, semasa Pusat Khidmat Parlimen kami (Sepang) sedang sibuk mengedarkan voucher tertentu kepada golongan fakir-miskin, tiba-tiba seorang lelaki yang agak berumur masuk ke pejabat kami dan meminta bantuan.

2. Memandangkan kami sedang menguruskan pemberian voucher tertentu, beliau mungkin menduga berkemungkinan beliau juga berhak mendapat salah satu voucher tersebut. Lalu dia berkata “tak pe lah voucher pun voucher lah.”

3. Secara kebetulan saya ada di situ dan menyaksikan hal tersebut. Beliau mungkin tidak perasan kehadiran saya sebab semua dari kami sedang memakai pelitup muka dan saya pula hanya memakai t-shirt dan berseluar jeans sahaja.

4. Lalu, saya mendekati pakcik itu dan berkata kepadanya “Maaf banyak banyak pakcik.Voucher ini hanya terhad kepada para penerima tertentu yang sudah dikenalpasti”.

Saya dapat melihat kekecewaan di wajah beliau. Kami rasa bersalah. Lalu kami memberi sedikit wang tunai kepada beliau. Dan saya kemudiannya meminta pegawai saya menemani pakcik tersebut ke keretanya. Rupanya beliau adalah seorang pemandu teksi.

5. Saya kemudiannya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa sebelum ini pejabat kami memang telah memberi bantuan “bakul makanan” kepada beliau yang kami insyaAllah biasa lakukan hampir setiap minggu di Parlimen kami dalam “Program Ziarah Rutin Prihatin Mingguan Kami” sejak negara mula dilanda pandemik ini.

6. Pegawai saya yang menemani beliau ke keretanya pula memberitahu saya bahawa pakcik itu hanya mencuba nasib beliau hari itu dengan datang terus ke pejabat kami sebab beliau dalam keadaan terdesak. Beliau tidak ada wang untuk membeli makanan hatta kepada keluarganya. Itu yang beliau maklumkan kepada pegawai saya.

7. Hakikatnya, sketsa sebegini saya mendengarnya lebih kerap sekarang ini. Kelmarin, misalnya, saya dan team kami menziarahi beberapa keluarga yang dhoif dan salah seorang dari keluarga itu, kesemua isi rumahnya adalah OKU. Salah seorang dari team kami habaq kat saya “saya tak tahan sebak lah YB! ”

Inilah yang berlaku di bawah sana… apakah kita semua tahu hal ini?