Malaysia Dateline

Skim i-Survive Najib, tingkatkan hutang kerajaan rakyat pula tanggung rugi

Cadangan Najib Tun Razak agar kerajaan memberi pinjaman automatik sehingga RM5,000 menunjukkan kerajaan tiada kemampuan untuk memberikan bantuan tunai kepada rakyat.

AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, Skim i-Survice yang dicadangkan Najib itu seperti pinjaman ‘micro credit’ untuk B40 dan M40 bukan sahaja boleh meningkatkan ‘contingent liability’ (hutang tak langsung) kerajaan, tetapi rakyat juga yang menanggung rugi dengan faedah 3% yang akan dikenakan.

“Kerajaan ini hanya bijak menanam tebu di bibir. Kononnya membantu rakyat, tetapi yang diberikan adalah duit simpanan rakyat sendiri (KWSP).

“Sekarang susah, tua nanti pun susah jika simpanan tinggal sedikit,” katanya.

Beliau tidak menolak ini merupakan akibat banyak wang negara diseleweng semasa pentadbiran BN khsusunya dalam 1MDB akhirnya kesan hari ini negara sudah tidak mempunyai wang membantu rakyat.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan Najib jika beliau ikhlas membantu rakyat kenapa tidak mencadangkan agar kabinet yang besar dikecilkan untuk menjimatkan wang negara.

“Tembolok menteri kabinet yang diutamakan secara ‘scheme of things’ demi mengekalkan kuasa. Kapasiti kabinet yang sama dikekalkan,” katanya lagi.

Faiz juga mempersoalkan di mana keuntungan berbilion daripada GLC dan kenapa tidak digunakan untuk bantu rakyat yang sudah tiga bulan perniagaan ditutup dan kerja pula tergantung.

Dalam perbahasan hari ini, Najib mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim i-Survive membabitkan pemberian pinjaman automatik sehingga RM5,000 kepada orang ramai.

Ia sebagai langkah membantu rakyat dan menaikkan aliran tunai dalam ekonomi negara, kata Najib.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, pinjaman itu akan disediakan oleh bank dengan jaminan penuh kerajaan dan caj perkhidmatan sebenar maksimum cuma tiga peratus bagi tempoh pembayaran balik tiga tahun.