Skim mySalam beri manfaat 3.69 juta rakyat

Skim mySalam beri manfaat 3.69 juta rakyat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah  (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Melalui MySalam, katanya, kerajaan Persekutuan berhasrat untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Dr Mahathir ketika melancarkan skim itu di Kementerian Kewangan di Putrajaya berkata kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun layak menerima manfaat daripada skim itu.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

“Bagi golongan B40, terutamanya mereka yang bekerja sendiri atau memperoleh gaji harian, tuntutan takaful yang diterima daripada skim mySalam ini boleh memberi kelegaan sementara bagi membantu mengekalkan keperluan hidup dan perbelanjaan harian, sementara menjalani rawatan perubatan yang diperlukan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Di majlis sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, golongan tersebut adalah dalam kalangan pihak yang layak menerima BSHR.

Menurut Guan Eng, dalam ucapannya, melalui skim tersebut, penerima akan mendapat perlindungan kesihatan percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan alzheimer.

Penerima akan menerima bayaran sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu daripada penyakit kritikal tersebut.

Skim ini juga memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital Kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun,,” ujarnya.

Guan Eng berkata, skim mySalam merupakan inisiatif utama kerajaan yang menunjukkan komitmen untuk membantu isi rumah golongan berpendapatan rendah yang memberi perlindungan perubatan dalam bentuk kewangan jika berlaku kecemasan atau masalah kesihatan yang tidak diduga.

Tambah Guan Eng, skim berkenaan menjadi realiti dengan usaha sama syarikat insurans swasta Great Eastern Life yang mencarum sebanyak RM2 bilion sebagai dana permulaan.

Kerajaan akam menggunakan sumbangan RM2 bilion ini untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 untuk setiap individu.

Kadar premium ini ditetapkan pada kadar kos tanpa keuntungan untuk syarikat insurans,” katanya seperti dipetik sinaronline.