Malaysia Dateline

Skim mySalam diperluas kepada M40

Kerajaan hari ini mengumumkan perluasan skim perlindungan kesihatan mySalam kepada golongan M40 iaitu individu yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM100,000 setahun.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perluasan skim ini dijangka akan membawa manfaat kepada 8 juta individu bagi tahun 2020.

Jelasnya, golongan itu boleh melengkapkan proses pendaftaran bermula hari ini (11 Feb) hingga 31 Mac dan membuat tuntutan mulai Mei akan datang.

“Selepas tarikh (pendaftaran) tersebut, semua penerima yang layak akan dimaklumkan dan boleh mengemukakan tuntutan masin-masing,” katanya dalam ucapan majlis perluasan skim mySalam di Kementerian Kewangan seperti dipetik laporan FMT hari ini.

 Hadir sama, Timbalannya Amiruddin Hamzah, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 24 Jan tahun lalu merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah 1 daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.