Malaysia Dateline

Skim PeKa B40 akan dilaksanakan melalui syarikat milik Kerajaan, kata Menteri Kesihatan

Skim Peduli Kesihatan untuk B40 (PeKa B40) akan dilaksanakan sepenuhnya oleh sebuah syarikat milik Kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan PeKa B40 tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan sedia ada di klinik dan hospital Kerajaan.

Bayaran pendaftaran klinik RM1 bagi pesakit luar am masih dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

“Fokus utama manfaat skim PeKa B40 ini adalah saringan kesihatan di peringkat perkhidmatan kesihatan primer untuk pencegahan penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Diseases- NCD) melalui jalinan kerjasama antara Kerajaan dan klinik swasta.

“Selain itu, saringan ini termasuklah untuk pengesanan asas kanser serta penyakit mental. Di samping saringan kesihatan, tiga lagi manfaat lain diberikan kepada penerima iaitu bantuan kesihatan, bantuan tambang pengangkutan untuk mendapatkan rawatan di hospital Kementerian Kesihatan dan insentif melengkapkan rawatan kanser,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan Muhamad Mustafa di Dewan Negara hari ini.

Kata Dr Dzulkefly lagi, PeKa B40 ini dibangunkan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat kumpulan B40, seperti dalam janji manifesto, bagi merealisasikan agenda Kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah.

PeKa B40 dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan di mana sebanyak RM100 juta telahpun diperuntukkan sebagai permulaan perlaksanaan yang akan berlanjutan secara berfasa untuk merangkumi semua rakyat B40 seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019.

Untuk peringkat permulaan, skim ini akan dinikmati oleh kumpulan B40 yang berumur 50 tahun dan ke atas dalam projek perintis yang akan dilancarkan pada awal tahun 2019.

“Untuk mengelakkan kekeliruan, saya ingin perjelaskan di sini juga bahawa skim PeKa B40 ini berbeza daripada Dana Perlindungan Kesihatan Nasional untuk kumpulan B40 yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia,” ujarnya lagi.