Skim Perkeso untuk petani mungkin diperluas, kata Mahfuz

Skim Perkeso untuk petani mungkin diperluas, kata Mahfuz

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mungkin diperluas kepada golongan petani yang berisiko menghadapi kemalangan dalam pekerjaan mereka.

Menurutnya, langkah tersebut ekoran sambutan dingin daripada kumpulan sasaran sebelum ini iaitu pemandu teksi dan penyedia perkhidmatan e-panggilan.

Setakat ini hanya 10 peratus daripada kira-kira 100,000 pemandu teksi dan e-panggilan mendaftar dan mencarum bawah skim itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak cendawan volvariella di Kampung Musa, Pedu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasrudin.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata petani juga berdepan risiko kemalangan memandangkan mereka terlibat dalam pengendalian jentera serta mesin, dan perlu dilindungi Perkeso.

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang berkuat kuasa 1 Jun 2017 diwujudkan bagi memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dengan permulaan skim ditumpukan pada pemandu teksi sertaa e-panggilan.

Skim tersebut memberi perlindungan kepada pencarum daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan selain menyediakan faedah tunai di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Loading...