Skim Perubatan Madani yang dilaksanakan pengamal perubatan swasta umum (GP) di Johor Bahru akan membantu mengurangkan kesesakan terutama di dua hospital utama di daerah tersebut iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata ia turut memberi kelegaan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di 33 GP di Johor Bahru sekali gus mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah (B40) terlibat.
“Di Johor, daerah pertama adalah Johor Bahru kerana ada penduduk yang ramai dan hospital di daerah ini (HSA dan HSI) juga yang tersesak dan teramai pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Mudah-mudahan dengan adanya skim ini khususnya penerima STR, mereka boleh dapatkan rawatan khususnya penyakit tidak berjangkit (NCD) di klinik swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi ProtectHealth,” lapor Bernama.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata demikian selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles di Medini di Iskandar Puteri hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemas kini senarai klinik yang berdaftar di bawah skim yang dilancarkan KKM pada Khamis lepas itu dari semasa ke semasa supaya lebih ramai golongan B40 khususnya penerima STR dapat menerima manfaat daripada inisiatif itu.
Skim Perubatan Madani merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 terutama dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut atau rawatan pesakit luar kes-kes akut di GP.
Skim itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu dan merupakan satu daripada inisiatif kerajaan mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.