Malaysia Dateline

Skim Perumahan Prihatin Belia apa kata belia?

Cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk mengadakan Skim Perumahan Prihatin Belia Johor (SPPBJ) telah mendapat pelbagai respon dari golongan belia.

Menurut Mohamad Muaz Jamaluddin, 35, berkata tindakan kerajaan itu bertepatan dengan kehendak mendesak dari belia yang mahukan kediaman pertama sementara untuk mereka berjaya mendapatkan rumah berstatus hak milik kekal.

Mohamad Muaz Jamaluddin

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan merangka skim pembelian rumah dengan kadar faedah yang rendah untuk pasangan yang baharu berkahwin atau rumah pertama selain SPPBJ ini.

“Kerajaan juga perlu membuat kajian lapangan serta mendapatkan maklumat berkenaan dengan anak muda atau belia di luar bandar untuk mampu menampung permintaan mereka berkenaan SPPBJ ini.

“Bagi mengelakkan jurang generasi yang bakal berlaku sekiranya kerajaan hanya memfokuskan kepada kawasan bandar. Justeru itu kerajaan perlu juga mengambil maklum balas dari kawasan luar bandar,” katanya.

Mohd Azam Mekhtar

Dalam pada itu, menurut Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mohd Azam Mektar, 39, pula berkata persaingan belia terlalu sukar untuk mendapatkan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) telah membuatkan impian belia untuk memiliki rumah tidak menjadi kenyataan.

“Fokus kerajaan untuk memfokuskan kediaman atau rumah untuk belia boleh dianggap sebagai langkah murni bagi memberi peluang kepada golongan tersebut terkecuali dari persaingan sekaligus mendapat peluang memiliki rumah.

“Rumah transit ini mampu membantu untuk dijadikan alternatif dalam masa yang sama para belia memiliki ruang memperkukuhkan ekonomi masing-masing.

“Kini tibalah masanya kerajaan memfokuskan soal pembangunan belia yang bakal menjadi atau menerajui tampuk negara atau negeri ini,” ujarnya.

Selain itu, pandangan lain dari Mohammad Najib Daud, 32, yang mahu melihat kerajaan benar-benar efektif dalam mengendali atau melaksanakan SPPBJ tersebut.

Mohammad Najib Daud

“Sebelum ini kerajaan negeri di bawah BN telah banyak mengadakan program untuk belia namun semuanya hanya sekadar buah mulut pemimpin sahaja tanpa ada usaha yang bersungguh.

“Justeru sebagai sebuah kerajaan yang baharu seperti PH ini, saya mahu melihat ada kelainan dengan perlaksanaan dari kata-kata mereka dan perkara itu harus dilakukan dengan cekap, telus dan mencapai sasaran atau matlamatnya.

“Sebagai seorang anak muda, saya yakin perkara ini baik dan sekiranya ia dapat ditunaikan maka kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang bukan berjanji semata-mata,” tegasnya.

Pada 2 September yang lalu, Kerajaan Negeri Johor melalui Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Sr. Dzulkefly Ahmad telah mencadangkan untuk mengadakan Skim Perumahan Prihatin Belia Johor bagi membantu golongan belia dalam mendapatkan rumah pertama mereka.