Skim pinjaman pekebun kecil sawit hanya menambah beban

Skim pinjaman pekebun kecil sawit hanya menambah beban

Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) kepada pekebun kelapa sawit di negara ini, dilihat menambah beban sedia ada.

Mazlan Aliman

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, skim pinjaman itu tidak wajar diteruskan kerana pekebun kecil sudah pun terbeban dengan harga komoditi yang tidak menentu.

Beliau berkata, langkah meneruskan pinjaman itu adalah tidak tepat dan pihaknya merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkannya semula.

“Harga komoditi pun tidak menentu di pasaran, tiba-tiba kerajaan meneruskan skim pinjaman itu dan bagi saya perkara berkenaan menambahkan lagi beban kepada pekebun kecil.

“Apabila harga komoditi tak stabil, kita kena mencari inisiatif dalam usaha untuk memberikan insentif-insentif tertentu kepada pekebun-pekebun kecil yang ada di negara kita ini.

“Sepatutnya ada skim insentif tambahan pada waktu harga komoditi terjejas. Hari ini diwujudkan pula skim baharu iaitu skim pinjaman. Masalahnya sekarang, mereka (pekebun kecil) nak bayar semula dengan apa? Ini yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan juga berpendapat, skim bantuan tanaman semula tidak wajar dihentikan dan pihaknya merayu kepada kerajaan supaya mengekalkan skim bantuan tersebut seperti yang telah dinikmati pekebun kecil selama ini.

“Saya turut mencadangkan agar skim bantuan itu dapat disusun semula kerana amalan pemberian bantuan selama ini mempunyai beberapa isu berbangkit.

“Contohnya kelewatan bayaran, ada yang dapat dan tidak mendapat bantuan. Begitu juga dengan mereka yang sudah tidak terlibat dengan penanaman semula, tetapi masih dapat bantuan.

“Maknanya kita kena kemas kini maklumat pekebun kecil. Maknanya proses pemutihan itu dibuat untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan penanaman semula,” kata Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil

Sementara itu, Pengerusi Taskforce Felda Bersatu, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil pula berpendapat, pinjaman TSPKS dan IPPKS tidak ‘menekan’ pekebun kecil kerana ianya dibayar selama 10 tahun dengan faedah sebanyak dua peratus.

“Ianya akan mula dibayar selepas dua tahun tanaman iaitu apabila sawit telah mula mengeluarkan hasil.

“Keputusan kerajaan menghentikan bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil ini mungkin kurang popular. Dari segi keadilan sosial pula, kerajaan terpaksa memberi pinjaman kepada Felda kerana keadaan kewangannya (Felda) sangat tenat apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

“Jika Felda terpaksa meminjam, tidak adil jika pekebun kecil diberi geran, justeru itu, kerajaan menyediakan alternatif lain kepada pekebun kecil seperti pinjaman TSPKS dan IPPKS,” katanya.

Semalam, kerajaan memaklumkan skim pinjaman TSPKS dan IPPKS kepada pekebun kelapa sawit di negara ini, diteruskan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok memberitahu, sebanyak RM550 juta telah pun diperuntukkan Kementerian Kewangan (MOF) untuk tujuan berkenaan.

Isnin lalu, Teresa Kok berkata, skim bantuan tanaman semula itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Justeru, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.