SKM sasar perolehan koperasi RM50 bilion pada 2020

SKM sasar perolehan koperasi RM50 bilion pada 2020

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mensasarkan koperasi berdaftar seluruh negara akan menghasilkan perolehan RM50 bilion menjelang 2020.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Nordin Salleh berkata sejumlah RM40.34 bilion perolehan berjaya dicapai sehingga Dis 2017 melalui urus niaga membabitkan 13,899 koperasi berdaftar seluruh negara berbanding RM39.66 bilion tahun sebelumnya.

“Walaupun peningkatan itu tidak besar namun ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan jika mengambil kira situasi ekonomi yang tidak menentu sepanjang tempoh itu. Kita optimis koperasi seluruh negara mampu mencapai sasaran perolehan RM50 bilion pada 2020 melalui pelan perniagaan yang lebih strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota dan Hari Keusahawanan Koperasi Sekolah di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan geran bernilai RM526,000 kepada sembilan koperasi sekolah terpilih di Kelantan.

Dalam pada itu, katanya Kelantan berjaya menghasilkan perolehan berjumlah RM1.23 juta pada 2017 melalui 845 koperasi yang beroperasi dalam negeri selain pemilikan aset RM2.23 bilion.

Katanya pencapaian itu meletakkan kedudukan gerakan koperasi di Kelantan di tangga keempat selepas SKM Ibu Pejabat, SKM Wilayah Persekutuan dan SKM Pulau Pinang.

Beliau berkata SKM akan sentiasa membantu pembangunan koperasi dalam memastikan ia menjadi penyumbang berkesan kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya pada tahun lepas, kerajaan melalui SKM meluluskan geran berjumlah RM2.18 juta kepada koperasi Kelantan dan ia adalah peruntukan pembangunan yang tertinggi pernah diterima oleh gerakan koperasi negeri itu setakat ini.

Nordin turut menyarankan agar semua koperasi meletakkan sasaran pencapaian sebagai kayu ukur kejayaan selain membudayakan semangat koperasi baharu dengan pelan perniagaan lebih strategik.