SKMM diminta tubuh pasukan khas pantau aktiviti ekstremisme di laman sosial

SKMM diminta tubuh pasukan khas pantau aktiviti ekstremisme di laman sosial

Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr P.Sundramoorthy, mahu pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menubuhkan pasukan khas  dan menyekat laman sosial berpotensi dengan serta-merta bagi memantau aktiviti ekstremisme.

Beliau berpendapat negara juga memerlukan sebuah badan khas untuk menyalurkan informasi berkaitan ekstremisme secara menyeluruh sama ada dari segi modus operandi, ideologi, aktiviti kumpulan berkenaan, cara anggota baharu direkrut dan sebagainya.

“Adalah sangat penting, sumber rujukan ini diperluas dan diuruskan badan bertanggungjawab sama ada menerusi laman web khas atau laman media sosial yang rasmi untuk menyampaikan maklumat tentang aktiviti kumpulan militan ini,” katanya kepada Bernama.

Jelas beliau, pendekatan itu selain memberi gambaran sebenar kegiatan keganasan, ia juga dapat membuka minda masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh menyertai kumpulan ekstremisme.

Ditanya sama ada negara memerlukan Mahkamah Khas Militan seperti yang dilaksanakan Pakistan, Sundramoorthy berkata belum ada kepentingan untuk Malaysia melaksanakannya kerana negara sudah mempunyai undang-undang yang cukup seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

Sependapat dengan beliau seorang lagi Pakar Kriminoogi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata langkah itu perlu kerana media sosial kini,merupakan medium yang banyak digunakan oleh masyarakat.

Malah kerajaan dan jabatan agama disaran melaksanakan program yang dapat memberi penjelasan mengenai ajaran Islam sebenar melalui media sosial untuk menghalang penularan pengaruh ekstremisme.

“Kita lihat ramai anak-anak muda tertarik dengan ceramah dan program agama berkonsep santai namun sarat dengan mesej Islam yang boleh dijadikan panduan hidup.

“Kenapa tidak kita jadikan platform sebegini untuk menerangkan konsep Islam dengan bahasa mudah faham bahawa Islam tidak mengajar umatnya melakukan keganasan,” katanya.

Cadangan beliau dibuat berikutan pasangan suami isteri warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Turki di Gaziantep, ketika cuba menyusup masuk ke Syria pada 15 Nov tahun lepas setelah direkrut melalui Facebook dan aplikasi Telegram oleh warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi@Abu Hamzah yang menyertai kumpulan penganas Daesh di Syria.

Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia esok, kerana menganjurkan persidangan antarabangsa dua hari mengenai strategi anti radikalisme dan memerangi keganasan melampau.

TAGS