Malaysia Dateline

SKMM: Enam projek NFCP dengan kos RM3 bilion akan dilaksanakan pada 2020

Enam projek di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan dilaksanakan tahun ini  dengan anggaran kos RM3 bilion, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, enam projek tersebut merangkumi penyediaan perkhidmatan selular awam dan jalur lebar talian tetap di seluruh negara yang mampu melonjakkan tahap sosioekonomi rakyat.

“Keenam-enam projek NFCP ini akan menambah baik kesalinghubungan digital di seluruh negara, selain memastikan kesinambungan pelaburan awam kepada industri melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS),” kata SKMM.

Di bawah pakej rangsangan tersebut, SKMM akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan NFCP selaras dengan strategi menggalakkan pelaburan berkualiti.

NFCP dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan jurang digital melalui peluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

SKMM berkata kos RM3 bilion bagi enam projek NFCP itu akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang PPS di bawah kawal selia dan tadbir urusnya.

Mengenai enam projek berkenaan, suruhanjaya itu berkata NFCP 1 telah bermula pada 15 Feb, manakala NFCP 2, yang pada masa ini dalam proses penerimaan dokumen cadangan daripada pemegang lesen yang layak, akan meluaskan liputan perkhidmatan selular awam di pelbagai negeri.

NFCP 3 pula disasarkan untuk menyediakan rangkaian gentian optik dan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 500Mbps di 100,000 premis komersial dan kediaman.

Premis berkenaan berada di 74 lokasi di pinggir bandar dan luar bandar antaranya ialah Kudat (Sabah), Serian (Sarawak), Labis (Johor), Sekinchan (Selangor), Baling (Kedah), Lenggong (Perak), Bera (Pahang) dan Bachok (Kelantan).

SKMM berkata Dokumen Permintaan untuk Cadangan bagi NFCP 3 telah dikeluarkan pada 14 Feb lepas dan tarikh akhir untuk menghantarnya adalah pada 12 Mei depan.

“NFCP 3 memperkenalkan “pendekatan pelaburan padanan” yang mana, pemegang lesen yang layak turut perlu mengemukakan cadangan pembiayaan nilai setara bagi pelaksanaan rangkaian jalur lebar gentian optik,” kata suruhanjaya itu.

Berkenaan NFCP 4 yang melibatkan penyediaan kesalinghubungan di 151 perkampungan Orang Asli, SKMM berkata Permintaan untuk Cadangan bagi projek tersebut dijangka dikeluarkan pada suku kedua 2020.

SKMM berkata NFCP 5 untuk menaik taraf 377,360 pengguna rangkaian jalur lebar tembaga  kepada rangkaian jalur lebar gentian optik dijangka bermula pada suku pertama 2020.

Telekom Malaysia Bhd (TM) akan melaksanakan projek tersebut dengan menggunakan sumbangan PPS oleh TM sendiri, selaras dengan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

Bagi NFCP 6 yang melibatkan pemasangan kemudahan rangkaian dan pelaksanaan perkhidmatan rangkaian di kira-kira 740 lokasi di seluruh negara untuk penyediaan perkhidmatan selular awam, SKMM berkata Permintaan untuk Cadangan bagi projek berkenaan dijangka dikeluarkan pada suku keempat 2020.

Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata pelaburan dalam infrastruktur digital adalah landasan penting bagi negara untuk menongkah arus Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) demi merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan peluang yang lebih baik kepada rakyat Malaysia dalam ekonomi digital.

“Ia juga penting untuk menggalakkan ekonomi tempatan ketika negara sedang menghadapi isu-isu seperti penularan Covid-19 dan keadaan ekonomi global yang mencabar,” katanya dalam kenyataan tersebut.– BERNAMA