Malaysia Dateline

SKMM, KKMM digesa perjelas isu akaun Twitter

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) digesa berterus terang mengenai akaun Twitter, @SKMM_MCMC.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, beberapa persoalan wajar dijawab termasuk sama ada akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti  didakwa.

“Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi? Sekiranya ia diambil alih, adakah benar terdapat bayaran yang terlibat?

“Adakah bayaran yang dikatakan oleh pengguna media sosial, NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar?” soalnya.

Terdahulu, tangkap layar ciapan Twitter yang berbaur jelik menerusi akaun tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014 tular di media sosial.

Pemilik akaun Twitter yang dikenali sebagai Nazruihakim mendakwa dia tidak menyangka akaun miliknya yang dijual ketika usianya 15 atau 16 tahun itu bertukar menjadi akaun rasmi SKMM.

Mengulas lanjut, Syahredzan turut mempersoalkan sama ada pembayaran yang dibuat oleh pihak SKMM jika berlaku telah melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus.

“Isu ini melibatkan sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa yang meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan juga interaksi sosial orang awam di atas talian.

“Oleh itu, persoalan-persoalan ini harus dijawab oleh SKMM dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Pihak SKMM dan KKMM digesa untuk berterus-terang mengenai akaun Twitter @SKMM_MCMC,” kata peguam itu lagi dalam satu kenyataan hari ini.