Malaysia Dateline

SKMM, menteri Pas digesa ambil tindakan lagu raya ajak umat Islam berjudi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran iklan lagu raya GDBET333 yang mengajak umat Islam berjudi untuk mencari dana balik ke kampung.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, iklan berkenaan menyinggung sensitiviti umat Islam di bulan Ramadan, selain ianya jelas melanggar Akta SKMM.

Beliau turut menggesa menteri Pas yang berada di dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) hari ini untuk bersikap lebih prihatin dan mengambil tindakan tegas agar perkara yang bertentangan dengan agama Islam tidak dijadikan sebagai kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

“SKMM harus bertindak segera kerana GDBET333 cuba mempromosikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat online casino dan telah mempengaruhi umat Islam supaya menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadan semata-mata untuk berhari raya.

“Ini amat amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih dari dosa kerana di bulan Ramadhan juga masa untuk memperoleh maghfirah atau keampunan dari Allah.

“Iklan gdet333 ini boleh juga di kira sebagai menghasut umat Islam terutama anak muda untuk melakukan dosa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, tular sebuah iklan syarikat judi atas talian yang bertemakan sambutan hari raya Aidilfitri sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Iklan yang dihasilkan oleh syarikat judi secara dalam talian itu memaparkan sekumpulan golongan muda memakai baju Melayu, bersongkok, berbaju kurung dan bertudung mengajak umat Islam yang mahu pulang ke kampung sempena raya untuk mencuba nasib dengan berjudi bagi menambakan pendapatan.