SKMM perlu masa siapkan teknologi 5G

SKMM perlu masa siapkan teknologi 5G

Malaysia masih lagi mengkaji penggunaan teknologi generasi kelima (5G) yang dipelopori China.

Ketua Bahagian Teknologi dan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Ahmad Nasruddin Atiqullah Fakruddin berkata laporan rasmi kajian keselamatan berhubung pembangunan infrastruktur 5G itu perlu diberi masa.

“Isu kebimbangan keselamatan ini sememangnya diberi perhatian. Pihak SKMM dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta beberapa agensi kementerian lain sedang mengusahakannya.

“Isu lain-lain yang dikaji contohnya isu pengawalseliaan, kerana teknologi 5G juga meliputi isu perkhidmatan-perkhidmatan lain.

“Sebagai contoh kereta tanpa pemandu, ia bukan sahaja melibatkan SKMM, malah melibatkan pihak berkuasa lain seperti JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) serta juga industri vertikal yang dapat memanfaatkan teknologi 5G,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio, stesen radio berita 24 jam dengan tajuk “persiapan ke arah 5G dan manfaatnya kepada pengguna” pada Isnin.

Jelas beliau, disebabkan teknologi 5G akan dilancarkan dan digunakan secara komersil menjelang 2021 atau 2022, negara masih mempunyai masa untuk meneliti berdasarkan beberapa perkara yang perlu ditambah baik seperti aspek standard, kawal selia dan rangkaian yang perlu dinaiktaraf.

Dalam pada itu mengenai langkah-langkah yang boleh diambil SKMM bagi memastikan jaringan sedia ada disediakan oleh operator-operator telekomunikasi ini diperluaskan ke kawasan bukan ekonomikal sebelum beralih arah ke 5G, Ahmad Nasruddin berkata kerajaan mempunyai banyak inisiatif antaranya di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat.

“USP ini digunakan oleh kerajaan untuk menambahbaik atau menyediakan liputan di kawasan luar bandar. Inisiatif ini berterusan bermula dengan teknologi 2G dahulu sebelum ditambahbaik teknologi kemudahan itu sehingga kepada 4G yang turut membenarkan operator-operator telko lain membantu membuat peningkatan,” katanya.

“Bagi menyokong ke arah teknologi ke hadapan itu, adalah penting bagi semua rangkaian operator telco bergerak seiringan bagi meningkatkan kualiti serta mengoptimum rangkaian 4G sedia ada untuk menangani masalah kesesakan jalur lebar,” tambahnya.

Ahmad Nasruddin turut menarik perhatian bahawa penggunaan teknologi 5G menerusi Capaian Kekal Tanpa Wayar (FWA) akan menjadi penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah capaian liputan jalur lebar terutama di sesetengah kawasan pedalaman negara.

“Teknologi 5G boleh menjadi ‘game changer’. Jika dahulu kita tarik satu persatu fiber optik ke rumah dari pencawang terdekat, namun sekarang caranya terbalik. Kita gunakan pencawang dan 5G itu akan pancarkan ‘wireless network’ dengan kepantasan ‘fiber light speed’ ke rumah-rumah, bergantung kepada pakej dan keadaan kawasan rumah,” katanya dan menambah bandwidth yang diterima adalah sama dengan pengalaman penggunaan kabel fiber optik.

Di sebalik kajian ke arah pengenalan teknologi 5G yang dilakukan, pihaknya mengakui terdapat cabaran yang perlu diambil kira kerana rangkaian 5G perlu menggunakan spektrum frekuensi yang lebih tinggi.

“Satu lagi cabaran ialah penggunaan gelombang milimeter (milimeter wave). Negara kita merupakan negara beriklim tropika dan selalu hujan dan frekuensi ini akan terkesan kerana titisan air hujan kita besar,” katanya yang satu kajian kini sedang dilakukan oleh beberapa universiti tempatan terkemuka berhubung kesan dan cara mengatasinya menggunakan gelombang milimeter.

Ahmad Nasruddin turut memberitahu kemajuan teknologi 5G juga berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan penyediaan perkhidmatan digital generasi akan datang merentasi industri-industri utama seperti automotif, kesihatan, pertanian, pembuatan dan pendidikan berikutan Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Maya (Virtual Reality) dan komunikasi mesin secara meluas merupakan sebahagian daripada komponen yang bergantung kepada teknologi berkenaan.

— BERNAMA