Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengesahkan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial telah dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada orang awam.
Setakat ini dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025.
Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu berkaitan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas.
Selain itu terdapat cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.
SKMM menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), bersifat mengancam, mengganggu, atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.