Malaysia Dateline

Skop dan maksud PKP 3

Kesan daripada wabak Covid-19 ini rakyat Malaysia mengalami tekanan yang sangat luar biasa akibat dikurung dalam rumah sendiri. Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak tiga kali. Sekarang ini rakyat Malaysia di dalam fasa ketiga PKP. PKP kali ketiga ini telah diperketatkan daripada PKP kali pertama dan kedua.

PKP ketiga ini telah diwartakan melalui warta PU(A) 117/2020 melalui Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020 (PKP 3). PKP 3 ini berkuatkuasa mulai 15 – 28 April 2020.

PKP 3 ini melarang mana-mana orang dari bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain melainkan setelah mendapat kebenaran khas pihak polis. Kawasan tempatan jangkitan ini telah diisytiharkan dalam warta sebelum ini sebagai keseluruhan negeri-negeri yang ada di Malaysia.

Kebenaran untuk bergerak hanya diberikan secara terhad iaitu jika bergerak dalam negeri yang sama bagi tujuan yang khusus. Ada enam tujuan yang dibenarkan untuk orang itu bergerak iaitu, bagi tujuan membeli makanan, ubat, penokok diet (supplemen) atau keperluan harian; untuk membekalkan atau menghantar makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian; untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan; untuk memperoleh apa-apa perkhidmatan perlu selain dari tujuan membeli makanan, ubat, penokok diet, keperluan harian atau untuk tujuan perkhidmatan kesihatan dan perubatan; untuk melaksanakan apa-apa tugas rasmi dan akhir sekali untuk menyediakan apa-apa perkhidmatan perlu atau melaksanakan apa-apa tugas berhubung dengan apa-apa perkhidmatan perlu.

Bagi tujuan membeli makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian, syarat yang dikenakan adalah bahawa pergerakan orang itu hanyalah dibenarkan ke tempat yang radiusnya tidak melebihi sepuluh kilometer dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya jika makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian tidak terdapat di suatu tempat di dalam radius yang tidak melebihi sepuluh kilometer dari kediamannya. Selain itu, perjalanan orang itu hendaklah berseorangan melainkan ada sebab yang munasabah.

Syarat yang sama juga dikenakan bagi orang yang ingin mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melainkan orang itu tidak perlu berseorangan dan boleh disertai oleh orang lain dengan semunasabahnya.

Bagi orang yang perlu melaksanakan apa-apa tugas rasmi, dia hendaklah mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika ditahan di mana-mana tempat sekatan polis.

Begitu juga bagi pihak yang menyediakan atau memperolehi apa-apa perkhidmatan perlu, dia perlu mengemukakan sebarang bukti kepada pihak berkuasa sekiranya diminta.

Terdapat 15 jenis perkhidmatan perlu termasuklah makanan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, air, tenaga, keselamatan dan pertahanan, pengurusan kebersihan, pengangkutan, komunikasi dan internet, perbankan, e-dagang, pembekalan bahan api, hotel, logistik dan lain-lain perkhidmatan yang dibenarkan oleh menteri.

Pihak penyedia makanan pula hanya dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan bekalan makanan secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran sahaja.

PKP 3 telah melarang sama sekali sebarang bentuk perhimpunan sama ada di tempat awam atau di tempat persendirian sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan. Satu-satunya pengecualian yang diberikan adalah untuk terlibat dalam suatu perhimpunan bagi maksud upacara pengebumian dengan syarat orang yang hadir ke upacara itu hendaklah dalam bilangan yang minimum.

Hukuman bagi orang disabitkan di bawah mana-mana PKP ini boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Sepanjang tempoh PKP ini berkuatkuasa, kita melihat ribuan orang telah ditahan dan didakwa di mahkamah. Ada juga yang telah ditahan dan hanya dikompaun. Selain daripada pertuduhan di bawah peraturan ini, ada juga yang didakwa atas kesalahan lain iaitu menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasan mereka. Ini kerap kali berlaku kerana emosi mereka yang tidak terkawal sehingga memaki-hamun pihak polis yang bertugas.

Selain itu, kita juga melihat ada orang yang tidak dapat mengawal diri mereka untuk menaikkan gambar mereka keluar di media sosial. Ini adalah tabiat yang tidak wajar kerana kelak ada pihak yang akan mempersoalkan perbuatan itu. Jika nasib tidak baik nescaya orang itu akan ditahan oleh pihak polis akibat perbuatannya sendiri.

Ada juga pihak yang bersikap bangga apabila dia tidak ditahan polis akibat melanggar peraturan tersebut. Tindakan sedemikian juga bakal mengundang padah. Pihak polis sepatutnya tidak mengira sama ada orang itu adalah orang kenamaan atau marhaen. Undang-undang tidak boleh memilih bulu. Sesiapa yang bersalah akan ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Justeru, berhati-hatilah supaya tidak melanggar peraturan dan didakwa di mahkamah kerana akibat daripada pendakwaan itu boleh menyebabkan rekod baik seseorang akan tercemar dan akan menyusahkannya untuk memohon sesuatu pekerjaan pada masa hadapan.