Malaysia Dateline

Skuad sepak takraw buat persiapan awal hadapi Sukan SEA Manila

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSMakan ) memanggil 24 pemain lelaki dan 15 wanita bagi mengikuti kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Manila 2019.

Berikutan itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, mengesahkan mereka sudah menghantar surat tawaran kepada semua pemain terpilih, meminta mereka melapor diri di ibu pejabat PSM, 2 Januari depan.

Ahmad berkata, sesi latihan berkenaan penting bagi memastikan Malaysia benar-benar bersedia untuk menghadapi saingan temasya terbesar Asia Tenggara itu dan kejohanan antarabangsa lain, tahun depan.

“Kebanyakan pemain lelaki terpilih membabitkan mereka yang membantu Malaysia meraih pingat emas dan perak di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 dan menunjukkan pretasi cemerlang di Liga Sepak Takraw (STL).

“Bagi memperkuatkan skuad wanita pula, PSM mengguggurkan sebahagian besar pemain senior dan menggantikan mereka dengan muka baharu yang mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak,” katanya dalam satu kenyataan semalam, dipetik.

Untuk rekod, skuad sepak takraw negara mempunyai misi penting untuk meraih sekurang-kurang satu emas di Sukan SEA Manila selepas meraih dua kilauan pingat menerusi acara chinlone dan regu di temasya dwitahunan itu di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Kejayaan itu menjadi pendorong dan kunci utama untuk Malaysia kemudiannya cemerlang untuk meraih emas dan perak acara regu dan beregu berpasukan di Sukan Asia Jakarta Pelembang 2018, September lalu.

Biarpun masih terlalu awal, impian menang emas di Sukan SEA Manila menjadi antara misi utama wajib dicapai PSM dan skuad sepak takraw kebangsaan untuk 2019.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sebagai permulaan semua pelatih skuad kebangsaan berkenaan bakal menjalani latihan intensif bagi memperkuatkan otot dan kekuatan fizikal selama tiga bulan mulai Januari.

Bagi memastikan usaha berkenaan membuahkan hasil dan fokus pemain kebangsaan tidak terganggu, Ahmad mengesahkan PSM bersetuju menangguhkan semua kejohanan sepak takraw peringkat kebangsaan sehingga akhir April depan.

“Selepas itu kita akan lepaskan semua pemain kebangsaan mewakili pasukan dan majikan masing-masing untuk beraksi di Grand Prix (GP) Akhir Sepak Takraw Kebangsaan dan Piala Emas Khir Johari 2019 antara April hingga Mei.

“Biarpun besar kemungkinan pemain negara tidak turun sebagai satu pasukan, kita akan menjadikan kedua-dua kejohanan berkenaan untuk mengukur sejauh mana kekuatan fizikal dan mental mereka meningkat selepas menjalani latihan tiga bulan itu,” katanya.