Skuad Tok Gajah sasar rangkul tiga piala musim 2019

Skuad Tok Gajah sasar rangkul tiga piala musim 2019

Skuad Pahang menyasarkan untuk menjulang tiga piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 selari dengan persiapan rapi dilakukan pihak pengurusan pasukan berkenaan.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata berdasarkan pemerhatian, pasukan bimbingannya dilihat lebih bersedia dan tersusun dalam segala aspek musim ini berbanding kempen musim lepas.

“Kalau boleh kita mahukan tiga piala (Piala FA, Piala Liga Super dan Piala Malaysia) pada musim 2019. Pahang kini lebih bersedia dan mantap, dari segi pemain tempatan kita kekalkan dan tiada seorang pun digugurkan.

“Apa kita lakukan hanya membuat pertukaran pemain import, dan pemain import kelima kita, Jose Eduardo atau dipanggil Ze Love dari Brazil sudah pun sampai,” katanya selepas majlis pelancaran kedai konsep bola sepak premium, Football Republic milik syarikat Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd di sini hari ini.

Kedai cawangan keempat seumpamanya itu di negara ini dirasmikan pembukaannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Besar Pemasaran syarikat itu, Mizal Ghazali dan barisan pemain Pahang.

Dollah berkata skuad kendaliannya juga kini lebih bersemangat dengan penajaan diterima daripada Al-Ikhsan Sports berbentuk peralatan sukan.

Sementara itu, Mohd Johari percaya penyokong tempatan tidak sabar untuk menantikan sepak mula Liga-M dan sumbangan penajaan daripada Al-Ikhsan Sports memeriahkan lagi kancah bola sepak negara.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus mempersiapkan pasukan Pahang pada musim 2019 terutama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Saya berharap kita akan mencapai sasaran ditetapkan. Penajaan ini pasti menyuntik semangat pemain,” katanya.

Mizal Ghazali pula berkata pihaknya memilih Pahang untuk diberi penajaan kerana skuad Tok Gajah merupakan sebuah pasukan gergasi dalam kancah bola sepak tanah air dan mempunyai ramai peminat.

“Penajaan bernilai RM1.6 juta menerusi jenama UMBRO dibuat dalam tempoh dua tahun, bermula tahun ini sehingga 2020, dan 90 peratus daripadanya merupakan barangan sukan.

“Oleh itu, kami menyeru kepada peminat agar menyokong Pahang dengan membeli barangan asli kerana ia boleh menyumbang kepada kemajuan pasukan kesayangan mereka,” katanya.

— BERNAMA