Malaysia Dateline

Slogan ‘Islam Penyelesaian’ berpotensi memburukkan imej Islam sendiri, kata Hanipa

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional Hanipa Maidin menyifatkan slogan ‘Islam penyelesaian’ akan lebih berpotensi memburukkan nama dan imej Islam itu sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, slogan Islam penyelesaian pernah menjadi slogan kepada satu gerakan politik Islam di sebuah negara Arab.

“Bila parti mereka menang dan ada yang berjaya masuk Parlimen, teruk mereka diperli dan dikutuk kerana gagal tawar penyelesaian pada semua masalah yang dihadapi negara. Malahan ada ahli Parlimen mereka yang tak boleh nak kupas any isu di Parlimen walaupun bergegar ceramah di luar Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah portal lidah rasmi Pas yang bertajuk ‘Covid-19: Islam jadi contoh penyelesaian-Presiden Pas’.

Tambah beliau, slogan Islam penyelesaian misalnya dalam isu kebersihan tidak memberi apa-apa makna jika negara umat Islam yang paling kotor, begitu juga isu rasuah tetapi negara umat Islam yang paling tinggi indeks rasuah apatah lagi gerakan Islam boleh menyokong rejim yang rasuah.

“Islam penyelesaian pada isu kezaliman tapi di negara umat Islam, orang Islam sendiri dizalimi hingga minta suaka politik di negara barat yang bukan Islam.

“Islam penyelesaian bagi isu pengkhianatan tapi di negara umat Islam, orang Islam boleh khianat mandat rakyat dan puak Islam boleh bersama mereka lagi tanpa rasa bersalah.

“Islam penyelesaian nampak menarik tapi bila yang bercakap individu macam YB ini, maaflah, terus nampak tak menarik,” ujarnya.

Beliau menyifatkan kenyataan itu umpama ‘jika orang yang jual ubat jerawat muka dia pula bertempek jerawat di sini sana’ dan tiada siapa yang akan mempercayainya.

“Orang putih kata “this is a crude reductonist”-yang menyimpulkan sesuatu perkara yang rumit dan “complicated” dengan terlalu mudah.

“Covid 19- Islam penyelesaiannya. Negara penuh dengan korupsi-Islam penyelesaiannya. Fenomena rogol zuriat sendiri -Islam penyelesaiannya. Buang bayi-Islam penyelesaiannya. Wow, too simplistic.

“Bertuah negara ada beberapa menteri dan timbalan menteri dalam GPB. Kejap lagi semua masalah spt masalah alam sekitar, masalah harga komoditi etc akan ada penyelesaiannya.

“Jika ikut logik beliau juga, sepatutnya negara umat Islam paling selamat dari virus Covid-19. Tapi adakah negara umat islam selamat?” ujarnya.