Malaysia Dateline

Slogan ‘Kedah sejahtera, nikmat untuk semua’ hanyut bersama Sanusi

Apabila Muhammad Sanusi Md Nor mengambil alih jawatan Menteri Besar Kedah, beliau mengemukakan slogan ‘Kedah sejahtera, nikmat untuk semua’ tetapi nampaknya tidak semua yang mendapat nikmat dari kerajaan pimpinan Pas ini.

Hanya sebahagian sahaja yang mendapat nikmat. Menteri Besar mendapat kereta besar baru, tetapi masyarakat minoriti khasnya India sentiasa mendapat masalah dari kerajaan ini.

Kalau sebelum ini, banyak kuil-kuil mereka dirobohkan, kini datang pula cuti perayaan mereka dibatalkan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Sanusi seolah-olah ada dendam terhadap mereka.

Akibatnya, nasib orang India di Kedah sentiasa mendapat perhatian pemimpin mereka di peringkat pusat dan juga di negeri lain.

Bukan masyarakat minoriti India sahaja terpinggir bahkan golongan peniaga kecil dan mangsa wabak Covid-19 juga merasai perkara yang sama.

Bagi sesetengah pihak, kerajaan negeri Kedah agak pelik jika dibandingkan dengan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang terbukti kedua-dua kerajaan negeri tersebut lebih ‘advance’ mengambil langkah drastik bagi membantu rakyat negeri tersebut dengan pelbagai insentif dan bantuan jika dibandingkan dengan kerajaan negeri Kedah khasnya dalam menghadapi Covid-19 ini.

Yang agak mengecewakan apabila Menteri Besar Kedah mengumumkan pelan tindakan projek-projek mega bernilai RM40 bilion yang akan dilaksanakan di Langkawi dalam tempoh terdekat, sedangkan rakyat Kedah tertanya-tanya apakah bantuan khas yang boleh diperolehi ketika rakyat hidup dengan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad (gambar), seharusnya kerajaan negeri mengambil tahu soal rakyat yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan dan terpaksa bergelut dengan situasi ketidakstabilan ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ tidak membawa apa-apa pengertian kepada rakyat bawahan yang terhimpit ekoran penularan pandemik Covid-19 setelah kerajaan negeri lebih mengutamakan projek mega yang menguntungkan sebelah pihak sahaja.

“Apakah mungkin kerajaan negeri tidak menyedari betapa prihatinnya individu dan pendakwah bebas seperti Ebit Liew yang sanggup meredah hujan dan banjir maupun panas terik mentari dengan turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan yang terdesak dan memerlukan.

“Sepatutnya kerajaan negeri Kedah menyegerakan bantuan dana khas kepada golongan asnaf, pemandu teksi, penjaja roda tiga, penjaja kecil dan lain-lain golongan yang hilang sumber pendapatan ekoran PKP yang berlarutan sehingga kini,” ujar beliau.

Malah kata Ridzwan lagi, Pemuda AMANAH negeri Kedah menyarankan supaya kelonggaran diberikan kepada peniaga-peniaga tanpa halangan oleh pihak berkuasa tempatan(PBT) serta penangguhan sewa beli maupun sewaan sementara terhadap gerai-gerai atau pun kedai-kedai dibawah seliaan PBT selama tiga bulan mulai Februari 2021.

Tambah beliau, golongan 40 dan M40 boleh diberikan bantuan ‘Bakul Harapan’ dengan bantuan makanan asas dan keperluan serta juga menyediakan peranti internet setempat bagi kegunaan pelajar-pelajar di luar bandar serta yang memerlukan bagi proses PDPR sepertimana yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sejajar dengan itu tegas Ridzwan, kerajaan negeri Kedah sepatutnya lebih sensitif dalam usaha membantu rakyat dengan pelbagai insentif dan ianya mesti dilaksanakan dengan segera supaya tidak disamakan dengan perumpaan Melayu kera di hutan disusukan, tetapi anak di rumah pula mati kelaparan.