Malaysia Dateline

Slogan kerajaan sepenggal hanya ‘khurafat’ ciptaan pembangkang

Rakyat di negara ini khususnya ahli dan penyokong Parti Amanah Negara (AMANAH), tidak boleh terperangkap dengan slogan ‘khurafat’ kerajaan sepenggal seperti yang dimainkan oleh parti pembangkang pada ketika ini.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil menasihati agar tidak terperangkap dengan sentimen sedemikian, kerana ia akan melemahkan semangat untuk terus berjuang jika ayat itu acap kali diulang.

Beliau berkata, perjuangan tidak hanya akan terhenti apabila sudah berjaya memenangi pilihan raya, sebaliknya perjuangan yang berteraskan kepada kebenaran, keadilan dan kemakmuran itu perlu diteruskan.

Muhammad Faiz Fadzil

“Bagi saya, sentimen kerajaan sepenggal itu satu khurafat sahaja. Khurafat ini sesuatu yang tidak benar. Tidak ada keperluan untuk rakyat Malaysia menukar kerajaan dalam keadaan di mana kita menukar kerajaan dengan tujuan untuk melahirkan sebuah kerajaan yang bersih, menolak korupsi dan kleptokrasi.

“Dalam keadaan begini, kita pula nak memilih kerajaan yang lama iaitu Barisan Nasional (BN). Kita tahu mereka terpalit dengan korupsi dan kleptokrasi, jadi tidak ada faedahnya untuk masyarakat memilih BN atau Muafakat Nasional (MN) dengan Pas yang tidak membawa sebarang agenda rakyat.

“Tidak seperti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kita menang dulu, kita membawa agenda rakyat, mereka (pembangkang) tidak ada membawa agenda rakyat.

“Mereka hanya bermain dengan sentimen-sentimen mereka iaitu secara dasarnya melibatkan sentimen perkauman untuk mewujudkan pecah belah dalam kalangan masyarakat. Itu sahaja yang diulang-ulang, tidak ada agenda rakyat dan tidak ada agenda sebenar yang ditunjukkan oleh mereka,” katanya secara eksklusif kepada Malaysia Dateline, Sabtu lalu.

Muhammad Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapannya pada program Kursus Safety Induction Construction Workers (SICW) di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Bagan Lalang, Sepang.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, yakin bahawa rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan kerana kejayaan sesebuah bangsa dan negara bergantung kepada faktor-faktor tertentu.

“Kita kena yakin bahawa kalau kita mentadbir dengan jujur, penuh kompeten, bersih dan berintegriti, insyaAllah rakyat akan menyokong kita.

“Kita telah menunjukkan kemampuan dan pencapaian kita dari sudut ekonomi juga semakin baik. Yang penting rakyat melihat kepada keseriusan menteri-menteri dan pemimpin kita untuk memulihkan ekonomi negara.

“Hari ini kita dapat peluang untuk memerintah negara. Kita tunjukkan kepada masyarakat dan dunia bahawa kita juga mampu memerintah dalam keadaan yang benar-benar lebih baik dan memberi manfaat kepada mereka semua selaras dengan wawasan kemakmuran bersama. Inilah maksud Rahmatan Lil A’lamin.

“Seperkara lagi dalam tadbir urus, kalau integritinya tinggi, maka kejayaan akan lebih tinggi dalam kita mencapai apa sahaja objektif sama ada dari sudut pentadbiran, ekonomi atau pun sosio politik,” ujarnya sambil menambah setakat ini tiada sebarang kes rasuah yang terpalit melibatkan barisan kepimpinan.