Malaysia Dateline

Slogan ‘lawan tetap lawan’ untuk seteru, bukan sesama sendiri, kata Anwar

Slogan ‘lawan tetap lawan’ adalah untuk melawan musuh, bukannya berlawan sesama sendiri, demikian peringatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membacakan ucapan dasar kepada anggota partinya yang ketika ini sedang berkumpul di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-14 (2019).

Anwar dalam ucapan dasarnya pagi ini berkata, PKR adalah satu pasukan dan jangan berlawan sesama sendiri.

“Seharusnya kita kembali sebagai satu pasukan. Ya, betul kita menggunakan slogan ‘lawan tetap lawan’, tetapi lawan jangan dengan kawan. Lawan dengan kawan buat apa.

“Ini (PKR) adalah parti kita bersama. Susah di jalanan dan sebuah parti yang diangkat oleh rakyat.

“Yang bersama kita adalah saudara yang ada semangat menegakkan keadilan. Mereka ada semangat dan cita-cita.

“Pecahkan tembok halangan dan bangkitlah sebagai satu keadilan rakyat. Kita ini satu pasukan. Bila kita kata ‘lawan tetap lawan’ itu, jangalah pula berlawan sesama kawan,” katanya disusuli tepukan amat gemuruh di dalam Dewan B, MITC, Ayer Keroh, Melaka.

Turut hadir dalam Kongres Nasional itu, isteri Anwar merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; anaknya, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semalam, beberapa siri pergaduhan tercetus ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedang berlangsung di MITC, iaitu lokasi sama dengan Kongres Nasional Keadilan yang diadakan pada hari ini.

Kekecohan berlaku di perkarangan MITC membabitkan kumpulan yang dikatakan ‘pemerhati’ berbaju t-shirt hitam dan juga ahli PKR yang memakai baju kemeja rasmi parti.

Kumpulan berbaju hitam itu dilihat duduk memenuhi bahagian belakang dewan kongres AMK, manakala perwakilan yang memakai baju kemeja rasmi parti, tidak dibenarkan masuk oleh skuad keselamatan atas tidak mempunyai pas perwakilan dan tidak memakai baju Melayu.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengakui tidak mengetahui mengenai kehadiran ‘pemerhati’ berbaju T hitam dalam kongres sayap PKR itu.

Kata beliau, pihaknya masih dalam proses mendapatkan kepastian mengenai kebanjiran ‘pemerhati’ yang memenuhi ruang dalam dewan persidangan Kongres AMK.

Tengah malam tadi, Bernama melaporkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.