Slogan Umno ‘Kepala Batas dihatiku’ tidak gugat Pakatan Harapan

Slogan Umno  ‘Kepala Batas dihatiku’  tidak gugat Pakatan Harapan

Dr Zaidi Zakaria

Walaupun Umno dan BN Kepala Batas memperkenalkan pelbagai jenama atau label untuk menyerang parti pembangkang ia tidak mampu untuk menggugat sokongan kepada AMANAH maupun Pakatan Harapan (PH).

Ini terbukti apabila AMANAH Kepala Batas mendapat sokongan bercambah 80 ahli baru setelah menyampaikan ceramah kelompok di Kuala Muda, Penaga, pada Ahad yang lalu.

Menurut Pengerusi Sekretariat PH Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria, kecaman yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendakwa PH memecahbelahkan masyarakat adalah tidak benar.

“Slogan Umno Kepala Batas kini adalah ‘Kepala Batas Di Hatiku’ dan lebih menyerang PH dengan pelbagai tohmahan.

“Namun begitu PH lebih condong kepada gerak kerja untuk mendekati pengundi daripada melayan kerenah pemimpin Umno Kepala Batas tersebut.

“Setiap hujung minggu maupun hari biasa ziarah dengan menghulurkan sumbangan menjadi rutin bagi AMANAH dan PH Kepala Batas, ” ujarnya.

Beliau juga berkata, tumpuan diberikan kepada mereka yang memerlukan termasuklah warga emas, orang kurang upaya dan mereka yang terlantar tanpa dipedulikan oleh Ahli Parlimen mahupun Adun Umno-BN.

“Selain dari itu, AMANAH dan PH telah menjalankan gerak kerja dengan amat baik serta komitmen yang bersungguh-sungguh.

“Kursus dan latihan persiapan pilihan raya umum turut dilaksanakan dengan sempurna bagi memberi pendedahan sebenar kepada para petugas dan sukarelawan.

“Malah program ziarah santai secara berterusan dan disusuli dengan ceramah kelompok masih lagi menjadi salah satu daya tarikan yang amat memberangsangkan sejak kebelakangan ini, ” jelasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, kemenangan Umno dan BN bagi Dun Penaga, Pinang Tunggal dan Bertam dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang lalu bukan suatu yang mustahil untuk dirampas menjelang PRU yang akan datang.

“Berdasarkan kepada gerak kerja, komitmen, analisa dan temubual dengan sejumlah besar penduduk dalam Parlimen Kepala Batas dalam tempoh terdekat, akan berlaku kejutan yang tidak pernah dijangka oleh Umno dan BN.

“Ketidakpedulian terhadap begitu ramai penduduk yang menghadapi masalah keperitan hidup oleh wakil rakyat Umno dan BN bagi Parlimen Kepala Batas amat terserlah dan ketara.

“Sikap hanya memilih kroni dan penyokong untuk mendapat bantuan kerajaan adalah tidak adil, sedangkan mereka adalah penduduk dalam kawasan yang sama, ” tegasnya.

Sejajar dengan itu tambah Dr Zaidi lagi, sikap pilih kasih dan ‘double standard’ yang menjadi amalan pimpinan Umno dan BN di Kepala Batas mempamirkan ketidakadilan yang tidak seharusnya dipraktikan.

Rentetan itu katanya, semua pengundi dalam Parlimen Kepala Batas wajib celik dan menyedari bahawa perubahan amat diperlukan menjelang PRU ke 14 yang akan datang.

Maka itu pintanya, menolak Umno dan BN dari terus memenangi PRU yang akan datang harus menjadi satu kemestian dengan memberi mandat kepada PH untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran negara tidak lama lagi.

Baca: Pakatan Harapan yakin tawan Kepala Batas

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0