SME Bank lulus pembiayaan RM30 bilion kepada lebih 17,000 PKS

SME Bank lulus pembiayaan RM30 bilion kepada lebih 17,000 PKS
Aria Putra Ismail
Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) meluluskan pembiayaan berjumlah RM30 bilion kepada lebih 17,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Aria Putera Ismail, berkata bank itu meneruskan keterlibatannya dengan pihak berkepentingan untuk membangun dan melaksanakan pelbagai program bagi merapatkan jurang pembiayaan PKS yang tidak mendapat pembiayaan atau kekurangan pembiayaan.

Penarafan AAA baru-baru ini dengan prospek stabil yang diiktiraf Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) mengesahkan kedudukan SME Bank sebagai peneraju dalam membangunkan PKS, katanya.

“Dengan jumlah sumbangan sebanyak 44.2 peratus pembiayaan institusi kewangan pembangunan (DFI) yang diberikan kepada PKS, ia (kedudukan pada AAA) telah meletakkan kedudukan SME Bank sebagai pemain utama dalam pasaran,” kata Aria dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata sejajar agenda sosioekonomi kerajaan, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), banyak inisiatif akan dilaksanakan untuk memperkasa PKS, terutama kumpulan pendapatan isi rumah bawah 40 (B40).

“Dalam merealisasikan matlamat utama DKN 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030, SME Bank, melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd, telah menyusun semula fungsinya bagi memastikan usahawan PKS yang menjalankan program latihan dan latihan kejurulatihan dilengkapi pemikiran, pengetahuan dan kemahiran yang betul dalam mengurus, mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata menerusi penarafan AAA yang diberikan oleh MARC itu dan arahan baharu yang dijalankan oleh kepimpinan SME Bank, masa depan PKS Malaysia dijangka menjadi sangat positif kerana ia berusaha menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi utama kepada negara.

SME Bank ialah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

— BERNAMA