Malaysia Dateline

Soalan untuk PH: Bagaimana kalau Pengerusi Mageran itu Anwar

Hari ini Majlis Presiden Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan media rasmi bertajuk “Pakatan Harapan
Menolak Mageran”.

Sebagai ahli kepada anggota PH, aku ada beberapa soalan yang perlukan penjelasan daripada PH. Perenggan kedua kenyataan media menyatakan:

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan menolak cadangan
MAGERAN ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula”.

Aku juga nak rujuk persoalan aku kepada tulisan Lim Kit Siang yang disiarkan Malaysia Kini atas tajuk
“Selepas 100 siri artikel #kerajaangagal Kit Siang”.

Aku bersetuju untuk tidak bersetuju dengan perenggan kedua itu atas alasan berikut:

1) Menolak cadangan MAGERAN, darurat ditamatkan, bunyinya sedap tetapi apa penyelesaian yang ada yang dicadangkan oleh PH?

Dalam tulisan yang lepas dan beberapa tulisan sahabat-sahabat lain, kita bersetuju bahawa darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan ini gagal. Yang gagal bukan darurat tetapi kerajaan.

Darurat jika digunakan sebetulnya dan sebaiknya boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah tetapi kerajaan ini gagal menggunakan kuasa darurat untuk rakyat dan memerangi pandemik sebaliknya hanya untuk kekal berkuasa.

Kerajaan boleh guna kuasa darurat dalam memberikan moratorium kepada rakyat tetapi tidak digunakan.

Kerajaan boleh gunakan kuasa darurat untuk guna peruntukkan tanpa melalui Parlimen untuk pandemik dan
suburkan ekonomi tetapi tidak menjadi begitu.

Jadi yang gagal itu kerajaan bukan darurat. Kegagalan kerajaan menyebabkan proklamasi darurat dilihat gagal
dan tidak perlu. Maka kita bersetuju meminta ditamatkan.

Tetapi, jika darurat ini tamat sekarang atau 1 Ogos 2021 seperti yang diproklamasikan, akan timbul masalah lain yang perlu ditangani. Bagaimana pula? Apa masalahnya?

Dewan Undangan Negeri Sarawak sudah tamat tempoh tetapi sekarang masih diteruskan atas peruntukan Ordinan Darurat.

Jika darurat tamat maka secara sendiri Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah dijalankan dalam tempoh 60
hari. Wajarkah PRN Sarawak dijalankan dalam suasana sekarang? Bagaimana pula tu? Apa penyelesaiannya?
Fikirlah dengan waras.

2) Buka Parlimen. Ramai mendesak termasuk tulisan Kit Siang.

Kata Kit Siang “Saya akan menamatkan siri ini selepas Parlimen memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif bagi memastikan tadbir urus yang baik, efisien, efektif serta mengangkat kedaulatan undang-undang, sebagaimana yang dimaksudkan tokoh-tokoh awal negara dan seperti termaktub dalam perlembagaan”.

Jelas fungsi Parlimen adalah sebagai platform atau institusi menyemak dan mengimbangi kuasa eksekutif
kerajaan.

Semua Ahli Dewan boleh berbahas, mencadang dan mengkritik tindakan eksekutif iaitu kerajaan di Dewan dan
kerajaan melalui menteri yang berkaitan akan dan perlu menjawab. Tetapi adakah ianya menyelesaikan masalah?

Ahli Dewan boleh kritik Khairy Jamaluddin berkaitan program imunisasi, bagaimana PICK diurus, kelembapan, ketirisan dan mencadangkan begitu dan begini. Tetapi hanya sekadar itu.

Ianya akhirnya bergantung kepada Khairy sama ada hendak ikut cadangan atau teruskan dengan amalan sedia ada yang sudah terbukti gagal. KJ masih menteri. Jika Khairy teruskan dengan cara dia, apa lagi kita boleh buat? Maki lagi dan lagi dan lagi. Itu saja.

Parlimen bukan eksekutif. Parlimen tiada kuasa eksekutif. Yang mentadbir ialah eksekutif iaitu Jemaah Menteri.

Selagi kerajaan itu kekal, kritiklah sehingga tercabut anak tekak sekali pun, masalah tidak selesai. Tulislah beratus siri kerajaan gagal pun tetap tak selesai masalah.

Baik, buka Parlimen supaya kita boleh tukar kerajaan. Ya, kita boleh undi tidak percaya kepada Pagoh. Pagoh tewas undi tidak percaya.

Seterusnya apa? Siapa yang ada majoriti?

Sehingga sekarang masih terkial-kial mencukupkan angka. Diusung dan dikontek merata pelusuk meminta SD.

Baik, Port Dickson berjaya mendapat majoriti, dari siapa? Penjajaran baru? Sokongan suci hati? Tiada apa-apa tawar menawar? Tolonglah.

Jika penjajaran baru berjaya sekali pun, kestabilan Kerajaan Penjajaran Baru ini tidak kukuh. Bila-bila masa boleh tumbang, tukar kerajaan lagi? Tak ada kerja lain ka? Bila masalah utama pandemik dan ekonomi negara ini nak selesai?

Pandangan aku, kebanyakan rakyat sekarang sudah tidak peduli pun Bersatu ka, Umno ka, DAP ka, Keadilan ka, apa parti sekali pun.

Yang difikirkan sekarang apa nak makan, apa nak bagi anak bini makan, bagaimana nak bayar ansuran rumah,
ansuran kereta, pendidikan anak, kelangsungan hidup.

Anak muda fikir nak kerja apa, nak kawin macam Mana, nak sewa rumah, nak beli rumah, nak bantu mak ayah dan keluarga, masa depan.

Bukan fokus pun parti apa memerintah sekarang. Rakyat tak sebut pun Bersatu gagal, Umno gagal, Pas gagal
tapi disebut Kerajaan Gagal kerana rakyat tak lihat parti politik tetapi dilihat kerajaan.

Yang lihat parti politik ini hanya orang politik. Yang sebut Bersatu gagal, Umno gagal, PN gagal ini aku dan
orang politik sebab kita lihat dari kaca mata politik tidak seperti orang lain.

Seperti yang aku tulis sebelum ini, fokusnya apa sekarang? Politik atau kelangsungan hidup rakyat dan
negara. Pilih keutamaan.

Bagi aku keutamaan ialah kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan negara. Jadi apa yang perlu dibuat? Apa cadangan PH? Tolak MAGERAN? Ya, boleh terima tetapi apa cadangannya?

Rujuk perenggan terakhir kenyataan media:

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi
yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah
di Parlimen”.

Aku malas nak komen lebih cuma boleh rujuk balik nombor 2 di atas. Penyelesaian apa di Parlimen? Aku bahas,
hang tak puas hati kutuk aku, aku balas kutuk hang, aku maki hang, hang maki aku, kena halau keluar dewan.

Itu penyelesaian? Sekarang bukan masa untuk itu. Sekarang masa cari penyelesaian dan Tun mencadangkan salah satu cara. Jika tak setuju tak apa tapi apa cadangan lain?

Tidak bolehkah dibincangkan secara waras cadangan Tun itu. Tidak setuju MAGERAN sebab darurat, ok, boleh tak kita ubah sikit begini atau begitu?

Bagaimana kalau tiba-tiba Agong dan Majlis Raja-Raja setuju cadangan Tun dan lantik Anwar ketuai Jawatankuasa seperti MAGERAN? Boleh setuju tak?

Sekarang Jun 2021. Parlimen tamat tempoh Mei 2023. Ada setahun lebih saja. Tak sampai 2 tahun. Tanya dan bagi pandangan saja takkan tak boleh. Takkan semua nak kena pajak kot?