Malaysia Dateline

Sogokan untuk MP: AMANAH gerakkan laporan polis jam 11 hari ini di seluruh negara

Aktivis AMANAH akan membuat laporan polis di seluruh negara hari ini ekoran tindakan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang didakwa cuba memberikan sogokan dalam ucapannya petang semalam.

Menurut Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, laporan itu akan dibuat di balai polis seluruh negara jam 11 hari ini.

“Laporan polis terhadap Perdana Menteri yang memberi sogokan kepada ahli Parlimen 14 Ogos 2021 (Sabtu), 11.00 pagi Balai Polis seluruh negara,” kata Adun Taman Templer Selangor itu menerusi Facebook beliau.

Semalam, Mahiaddin ketika berucap melalui televisyen ke seluruh negara membuat janji akan memberikan peruntukan samarata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

Beliau juga berjanji akan membuat penambahan siling kepada RM110 billion untuk mendepani krisis Covid-19
termasuk bantuan tunai kepada 11 juta penerima bernilai RM10 billion untuk B40 & M40.

Beliau juga menawarkan kepada ahli Parlimen yang sudi menyokong kerajaannya untuk membentangkan rang undang-undang Anti Lompat parti di samping setiap PM hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal sahaja.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga dijanjikan lebih seimbang dengan lebih ramai ahli pembangkang iaitu 50% kepada pembangkang.

Undi 18 pula akan dilaksana tanpa perlu tunggu pendaftaran automatik pemilih.

Semua rang undang-undang akan dirunding dahulu dengan ahli parlimen manakala Ketua Pembangkang pula akan dinaikan kedudukannya setaraf dengan Menteri Kanan dengan saraan yang sama.