Kepimpinan yang berwibawa dan persefahaman yang jitu antara PH, WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan beberapa parti serta wakil rakyat bebas lain yang sealiran dalam perjuangan diyakini dapat memimpin negara ke arah yang lebih baik, demikian menurut Pemuda AMANAH Nasional.
Timbalannya Muhamad Taqiuddin Cheman berkata dengan pembentukan kerjasama ini diharap tidak terhenti di sini dan wajar diteruskan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 bagi meneruskan agenda besar buat negara.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan parti-parti ini atas keputusan bersama untuk menyokong calon daripada Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9.
“Kesungguhan dan kepatuhan kepada janji serta komitmen yang ditunjukkan oleh Warisan, Pejuang, UPKO, PSB dan Muda di bawah kesepakatan bersama adalah sesuatu yang harus dijadikan contoh dalam menzahirkan kerjasama dan kematangan politik rentas parti.
“Kesediaan semua parti pembangkang untuk terus mendokong prinsip perjuangan bersama juga merupakan nilai yang harus dipuji, apatah lagi dalam keadaan negara yang diselubungi dengan pelbagai krisis akibat wabak Covid-19,” kata beliau.
Pemuda AMANAH berharap agar usaha membentuk kerjasama ini akan terus terjalin dalam memastikan cita-cita melaksanakan reformasi dan islah terhadap sistem yang korup di negara ini dapat diperbetulkan bersama.