Malaysia Dateline

Sokong BN dengan harapan Najib terajui pimpinan, ibarat angan tak akan dicapai

 

Memanfaatkan jam-jam terakhir berkempen biarpun sehingga ke lewat malam, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub terus mengingatkan pengundi agar sepenuh hati memberi sokongan kepada calon yang diwakili kerajaan.

Katanya, menyokong Barisan Nasional (BN) dengan harapan agar penasihatnya, Datuk Seri Najib Razak kembali menerajui pimpinan negara, ibarat angan yang tidak akan di capai.

“Kalau pilih Wee Jeck Seng, nak pilih Najib jadi Menteri ke? Najib hari ini sebelah kakinya dalam mahkamah, sebelah kaki lagi dalam penjara. Najib tak akan boleh kembali jadi pemimpin kerana tuduhan berat beliau itu melibatkan duit rakyat bilion ringgit.

“Dia datang sini sokong parti dacing yang tak boleh buat apa. Berilah peluang pada PH, kita akan buat terbaik walaupun akui kita banyak kelemahan. Kami minta maaf dan akan terus mempermajukan diri kami,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Pulai itu turut meyakinkan masyarakat bahawa calon PH, Karmaine Sardini adalah calon terbaik yang setanding dengan Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang dipilih rakyat.

“Sampai mati dia (Farid) akan jadi wakil rakyat yang berkhidmat untuk semua masyarakat kampung Tanjung Piai. Inilah pemimpin yang dipilih rakyat dan PH untuk tunaikan tanggungjawab.

“Allahyarham telah mengumpulkan jumlah projek berjumlah RM14.7Juta. Bila dia meninggal, kami yang menjalankan tanggungjawab projek beliau.

“Kenapa nak bagi masa PRK? sebab sebelum itu dia mengumpul dan mencatat jumlah projek. Dia meneliti dahulu permasalahan rakyat. Selesai dah kerja dia dengan Allah. Jadi kita yang masih hidup ini lah yang akan bagi projek itu,” ujarnya tegas.

Justeru katanya, apabila PH sebagai kerajaan, banyak alternatif yang dapat digunakan termasuk memanfaatkan hasil tanaman dalam negara seperti penggunaan minyak sawit dalam diesel.

“Kalau pakai diesel, kita ada b10 yang bermaksud 10 peratus daripada kandungan minyak diesel adalah minyak sawit kita. Bila kita dapat pelbagaikan minyak sawit kita, tahun depan kita dapat jadikan B20 maknanya 20 peratus minyak diesel adalah sawit kita.

“Bila kita kerajaan macam-macam kita boleh buat,” ujarnya.

PDM Sungai Durian antara 16 PDM di N.56 Kukup manakala N.55 Pekan Nanas mempunyai 11 PDM menjadikan keseluruhannya berjumlah 27 PDM dengan 125 saluran mengundi.

Parlimen Tanjung Piai yang terletak di penghujung Benua Asia itu terdiri daripada 26,271 pengundi wanita iaitu 49.48 peratus daripada keseluruhan 52,986 pengundi.