Malaysia Dateline

Sokong calon MCA di Tg Piai, Pas memperbodohkan ahli, penyokong, kata Mahfuz

Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Pas telah melakukan satu pembodohan kepada ahli dan penyokongnya apabila menyokong calon MCA di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Katanya, nada Pas cukup berbeza ketika di PRK Cameron Highland dengan lantang menyatakan wajib bagi orang Islam menyokong calon Islam apabila bertembung dengan calon bukan Islam.

“Tetapi hari ini, mari di sini (Tanjung Piai) ada pula dalil baharu yang mungkin digunakan pimpinan Pas untuk menghalalkan tindakan mereka bagi menyokong calon BN daripada MCA.

“Jadi saya anggap ini satu pembodohan yang dilakukan pimpinan ulama Pas terhadap ahli-ahli¬† dan penyokong-penyokong Pas serta seluruh masyarakat Malaysia dengan politik murahan mereka, politik yang hanya cari kesempatan untuk kepentingan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, Pas turut melakukan pembodohan kepada masyarakat Malaysia khususnya kepada Perdana Menteri sedangkan memberi sokongan kepada MCA yang menganggu gugat kedudukan Perdana Menteri di Malaysia.

“Jadi amat wajar bagi saya masyarakat di Tanjung Piai menolak politik pembodohan yang dibawa oleh pimpinan Pas dan pimpinan Umno.

“Dan bagi saya bukan sahaja di Tanjung Piai dan inilah masanya yang terbaik untuk masyarakat melihat bagaimana politik pembodohan tidak boleh lagi diterima rakyat negara ini,” katanya.

Terdahulu, Pas Johor menyatakan pendirian menyokong serta yakin calon MCA berpeluang menang di PRK Tanjung Piai nanti.

Malah Pas juga menegaskan tidak timbul isu calon MCA kerana Piagam Muafakat Nasional bersama Umno dan komponen dalam BN pada 14 September lalu dimeterai bersama.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Datuk Seri Wee Jeck Seng secara sah dipiih sebagai calon BN pada PRK 16 November ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.