Sokong Deklarasi Rakyat langkah taktikal, bukan sokong Tun M

Sokong Deklarasi Rakyat langkah taktikal, bukan sokong Tun M

Tindakan menyokong Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mohamad adalah sebahagian daripada langkah taktikal bagi tujuan mencapai reformasi sistem pentadbiran negara yang lebih besar seperti diperjuangkan parti pembangkang selama ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad berkata, penglibatan sebahagian pemimpin pembangkang khususnya dari Amanah adalah dengan matlamat yang jelas dan bukan bermaksud menyokong agenda Tun Mahathir semata-mata.

“Kedudukan Tun M bagi mengepalai Deklarasi Rakyat ini adalah perlu untuk menentukan ianya menarik perhatian rakyat umum selain daripada yang sudah bersama pembangkang, khususnya Pakatan Harapan.

“Ianya merupakan tindakan taktikal dan tidak bererti kami menerima beliau sebagai pemimpin. Keberkesanan taktik ini terbukti dengan adanya sejumlah 1.27 juta tandatangan terkumpul setakat ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Penjelasan itu dibuat beliau sebagai reaksi Amanah terhadap ‘warkah dari penjara’ oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan pemimpin pembangkang bersama Tun Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.

Amanah, kata Khalid menghormati pandangan dan nasihat yang diberikan Anwar dan sentiasa berwaspada terhadap agenda semua pihak, termasuk agenda Tun M yang diakui berbeza dengan agenda parti itu.

Biarpun demikian, kandungan Deklarasi Rakyat kata Khalid tidak bercanggah atau menghalang pencapaian agenda Amanah untuk melakukan perubahan total sistem pentadbiran negara, malah ia membantu.

“Berdasarkan pernilaian ini kami akan terus bersama Deklarasi Rakyat tetapi mengambil kira kekhuatiran Anwar. Oleh itu isu reformasi dan menjatuhkan Umno BN akan dipertingkatkan lagi sehingga ianya turut ditonjolkan bersama dengan isu menuntut Najib meletak jawatan.

“Ini akan diusahakan dengan dirancakkan sekali program-program di atas platform Pakatan Harapan yang turut membawa isu Deklarasi Rakyat,” katanya.

TAGS