Malaysia Dateline

Sokong Ismail Sabri jadi PM hanya panjangkan hayat kerajaan gagal

Sifat kerajaan gagal yang rakyat nobatkan kepada Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dibimbangi akan berlanjutan dengan sokongan terhadap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berpendapat pencalonan Ahli Parlimen Bera itu hanya akan menyebabkan negara ini menjadi mundur.

“Menyokong pencalonan Ismail Sabri hanya berazam meneruskan kerajaan yang telah gagal.

“Itu bukan langkah ke hadapan yang baik untuk Malaysia, bahkan undur ke belakang kerana menaikkan Umno kembali ke puncak kuasa.

“Semoga Allah menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Semalam, kesemua ketua parti politik hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong selama dua jam susulan peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Selain Ismail Sabri, antara pemimpin politik yang disebut-sebut bakal menggantikan kedudukan Mahiaddin ialah Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna).

Sementara itu, Pertubuhan Perubahan Gerak Rakyat Malaysia (Gerak) turut mengulangi gesaan mereka bahawa melantik Perdana Menteri baru dari kalangan ahli Kabinet yang lama dan gagal sama sekali tidak boleh diterima.

Mohamad Ezam Mohd Nor

Pengerusi Gerak, Mohamad Ezam Mohd Nor menegaskan, tindakan Umno yang menamakan Ismail Sabri merupakan langkah yang terkebelakang dan hanya akan menjahanamkan negara.

“Timbul juga ura-ura pelantikan seorang menteri yang tiada maruah menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Ini satu yang amat malang kepada negara dan akan terus menjerumuskan negara kepada bala bencana yang bertimpa-timpa.

“Apakah kita sebagai negara di mana Islam sebagai agama Persekutuan langsung mengenepikan soal keberkatan dalam mentadbir negara?

“Apalagi setelah bala bencana jelas di depan mata? Kementerian mana yang jelas gagal dan menjadi punca pandemik menggila?” kata bekas Senator berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Ismail Sabri akan diserahkan kepada Istana Negara hari ini susulan keputusan mesyuarat di antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi.

BN bersetuju menyokong Ismail Sabri yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

Sepanjang tempoh Ismail Sabri yang juga kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan dalam kerajaan PN, berlaku lonjakan besar jangkitan Covid-19 yang sudah berjumlah 1,444,270 kes setakat semalam.

Kabinet XXL diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu juga menyaksikan jumlah kes kematian akibat jangkitan Covid-19 termasuk kematian di luar hospital (BID) melambung.

Angka korban seperti diumum Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan ketara sejak bulan ini dengan purata harian lebih 200 kes meninggal dunia akibat Covid-19.